Mohd Husni Mohd Noor

BEKAS pegawai khas bekas Menteri direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan atas dakwaan mengatur projek kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Sumber berkata, lelaki bergelar Datuk berusia 50 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek dikatakan menerima rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian termasuklah pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta pada sekitar 2017.

“SPRM juga sedang mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki terbabit dengan individu tersebut,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 11:00 AM
PEGAWAI  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa bekas pegawai khas bekas menteri selepas direman 3 hari bagi membantu siasatan berhubung kes menjadi dalang yang mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta di Mahkamah Majistret Putajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor