KU Mashariman (tengah) menunjukkan botol mengandungi air ketum dan barangan dirampas. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
KU Mashariman (tengah) menunjukkan botol mengandungi air ketum dan barangan dirampas. FOTO Mohd Azam Shah Yaacob
Mohd Azam Shah Yaacob


GENG ‘Mat Kedah’ yang aktif memproses air ketum sejak enam bulan lalu untuk dijual kepada penagih ketum di Petaling Jaya tumpas apabila polis menyerbu sebuah rumah teres di Taman Medan, semalam.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya 10 pagi susulan penahanan dua lelaki berusia lingkungan 30 tahun yang juga pembeli air ketum daripada kumpulan itu, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, soal siasat terhadap dua suspek terbabit kemudian membawa kepada serbuan di rumah berkenaan.

Katanya, dalam serbuan itu polis menahan empat lagi lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 54 tahun ahli geng Mat Kedah yang aktif memproses serta menjual air ketum kepada penagih daun itu.

“Air ketum dipercayai dijual dengan harga RM20 sebotol dan diedarkan sekitar daerah Petaling Jaya, kemungkinan juga kepada penagih ketum yang tinggal di daerah berhampiran.

“Malah, siasatan awal mendapati kegiatan ini didalangi seorang daripada suspek ditahan iaitu lelaki berusia 54 tahun yang mendapatkan bekalan dari utara tanah air,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis menemui 120 botol air ketum dianggarkan bernilai RM2,400 dengan anggaran 180,000 mililiter.

Katanya, kumpulan itu dipercayai mampu menjual 60 hingga 70 botol air ketum setiap hari kepada penagih ketum dalam kalangan penganggur dan pelanggan tetap.

“Dalam serbuan itu polis turut merampas peralatan digunakan bagi memproses air ketum seperti dapur gas, periuk, tong gas serta beberapa peralatan lain.

“Semua suspek direman selama empat hari hingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 5:00 PM