Hasbi Sidek


SUSULAN gangguan bekalan air di beberapa tempat di sekitar Lembah Klang esok permintaan terhadap bekas penyimpanan air turut meningkat.

Bagi mengelak pembekal tong air mengambil kesempatan menaikkan harga barang itu, Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur melakukan pemeriksaan di sebuah premis pembekal barangan plastik di Kepong hari ini.

Pemeriksaan bermula 2.30 petang diketuai Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Azeem Nazuri itu mendapati permintaan bekas air meningkat namun pembekal masih mengekalkan harga sama seperti sebelum ini.

“Kita menjalankan pemeriksaan di sebuah premis pembekal barangan plastik di Jalan Kepong dan mendapati pemiliknya masih mengekalkan harga sama.

“Sejak semalam pihak kami sudah menjalankan pemeriksaan di lima premis termasuk di Kepong.

“Kami tidak mahu pembekal atau peniaga menaikkan harga berikutan permintaan bekas air meningkat ketika ini kerana gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi.

Penguat kuasa KPDNHEP WPKL melakukan pemeriksaan di premis yang membekalkan barangan plastik. FOTO Ihsan KPDNHEP
Penguat kuasa KPDNHEP WPKL melakukan pemeriksaan di premis yang membekalkan barangan plastik. FOTO Ihsan KPDNHEP

Azeem berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kenaikan harga barang boleh menyalurkan informasi kepada KPDNHEP melalui pelbagai medium untuk tindakan lanjut.

Gangguan bekalan air dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), esok

Henti tugas LRA SSP2 itu akan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman memaklumkan sebanyak 106 lori tangki air akan dihantar ke kawasan terjejas.

Bagi kes kecemasan yang memerlukan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka selama 24 jam.

Berita berkaitan

Dah tadah air?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:32 PM