ANGGOTA polis bersama penguatkuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menanggal poster iklan pinjaman tidak berlesen atau ‘ah long’ sekitar Gua Musang, malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
ANGGOTA polis bersama penguatkuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menanggal poster iklan pinjaman tidak berlesen atau ‘ah long’ sekitar Gua Musang, malam tadi. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

POLIS menanggalkan 80 poster iklan pinjaman tidak berlesen atau ‘Ah Long’ yang ditampal dalam operasi di sekitar Gua Musang, malam tadi.

Operasi lebih satu jam dan berakhir 10.30 malam itu dijalankan di Bandar Utama, Bandar Baru dan Bandar Lama.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, operasi diadakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dengan kerjasama anggota penguat kuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM).

Katanya, pihaknya menanggalkan iklan yang ditampal di papan tanda jalan, pokok, bangunan dan premis perniagaan.

“Operasi itu bagi mengelakkan orang ramai tertipu dengan pinjaman berkenaan. Kita tidak mahu poster tawaran pinjaman mudah Ah Long itu menjerat penduduk yang memerlukan wang tetapi bayaran kembali yang dikenakan membebankan.

“Ia akan menjerat penduduk yang mengalami masalah kewangan apabila mereka tidak memikirkan kesan buruk selepas membuat pinjaman.

“Kesannya berisiko apabila faedah yang dikenakan tinggi selain ugutan sekiranya gagal melunaskan pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, polis akan terus mengadakan operasi dari semasa ke semasa jika mendapati masih ada poster seperti itu ditampal di mana-mana tempat.

Beliau memberi amaran kepada individu yang terbabit dengan aktiviti berkenaan dan apabila berjaya dikesan akan disiasat mengikut Seksyen 5 (2), Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 9:47 AM