MAYAT Lee dibawa keluar dari lokasi kejadian menggunakan helikopter. FOTO ihsan JBPM
MAYAT Lee dibawa keluar dari lokasi kejadian menggunakan helikopter. FOTO ihsan JBPM
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENDAKI yang parah di kepala selepas terjatuh dari ketinggian enam meter ketika mendaki Gunung Korbu, Hulu Kinta, Ipoh, semalam, meninggal dunia.

Mangsa, Lee Khian Seng, 60, disahkan meninggal dunia selepas dibawa keluar dari lokasi kejadian menggunakan helikopter oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 9 pagi hari ini.

Jurucakap JBPM Perak berkata, mangsa yang dilaporkan parah semalam dibawa keluar dari lokasi dengan bantuan Unit Udara JBPM.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan 10 pagi hari ini.

“Selain JBPM Perak dan Unit Udara JBPM, operasi turut membabitkan pelbagai agensi lain seperti polis, renjer dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan, mangsa dipercayai mengikuti ekspedisi pendakian di gunung berkenaan bersama 12 pendaki lain sebelum terjatuh dan pengsan di lokasi.

Difahamkan, perjalanan untuk ke lokasi kejadian dari kaki gunung mengambil masa 12 jam dan bomba terpaksa mendapatkan bantuan Unit Udara JBPM.

Bagaimanapun, operasi menyelamat terpaksa ditangguhkan semalam berikutan keadaan cuaca kurang baik sebelum mangsa dibawa keluar pagi ini.

Berita berkaitan

Parah jatuh gunung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:48 AM