KILANG simpanan plastik terbakar di Jalan Desa Idaman 1/2, Taman Desa Idaman, Johor Bahru. FOTO Ihsan Bomba
KILANG simpanan plastik terbakar di Jalan Desa Idaman 1/2, Taman Desa Idaman, Johor Bahru. FOTO Ihsan Bomba
Oleh Nurul Amanina Suhaini


KILANG simpanan plastik di Jalan Desa Idaman 1/2, Taman Desa Idaman, Johor Bahru, musnah dalam kebakaran, petang hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai, Mohd Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.54 petang sebelum menggerakkan dua jentera dan enam anggota ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi, kami dapati api marak dan kebakaran membabitkan kira-kira 80 peratus kilang itu.

“Kebakaran berjaya dikawal dari merebak ke bangunan lain,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Fauzi berkata, turut membantu memadam kebakaran adalah tujuh anggota bersama sebuah jentera dari BBP Kulai dan lapan anggota bersama dua jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Skudai.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan punca dan anggaran kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:54 PM