Ibrahim Isa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam kerana bersubahat mengemukakan tuntutan palsu ke atas Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Hasil siasatan mendapati, wanita itu bersubahat dengan pemilik syarikat pembekal mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000 untuk menyediakan makanan dan minuman.

Ia bagi beberapa program dijalankan sepanjang tahun lalu oleh HSA sedangkan perkhidmatan itu tidak dilaksanakan.

Suspek berusia 36 tahun bertugas sebagai pembantu operasi di HSA ditahan 2.30 petang hari ini di Pejabat SPRM Johor untuk membantu siasatan.

Awal bulan ini, SPRM menahan lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun termasuk pemilik syarikat pembekal makanan dan minuman untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, sabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:19 PM