Nur Saliawati Salberi


TINDAKAN lelaki yang dipercayai mahu melarikan diri daripada ditahan polis mengundang padah apabila Perodua Myvi dipandu terbabas dan terbalik dalam kejadian di Taman Pendamar Jaya, Melaka semalam.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, lelaki berusia 31 tahun berkenaan berjaya ditahan sepasukan polis selepas mengejarnya sejauh kira-kira sembilan kilometer.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian pihaknya menerima maklumat daripada orang awam di kawasan Taman Bukit Katil Damai II, mengenai Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan berkeliaran di kawasan itu.

Beliau berkata, sebaik anggota polis tiba di kawasan itu, terdapat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan memanjat pagar sebuah rumah penduduk di situ untuk keluar.

“Menyedari kehadiran polis suspek terus ke kereta dan melarikan diri dengan memecut laju kenderaan keluar ke Jalan Tun Hamzah dan menuju ke Jalan Tun Kudu sebelum membuat pusingan U menghala ke Ayer Molek.

“Ketika tiba di Taman Pendamar Jaya, kereta itu melanggar tiga kenderaan lain lalu terbabas dan terbalik,” katanya.

Afzanizar berkata, semakan mendapati suspek ada enam rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah.

“Semakan juga mendapati suspek baru dibebaskan dari Penjara Sungai Udang pada 25 Mac lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara 10 tahun berkaitan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

“Dia kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 2:55 PM
Lelaki (tengah) yang cuba melarikan diri direman empat hari. FOTO Rasul Azli Samad
Lelaki (tengah) yang cuba melarikan diri direman empat hari. FOTO Rasul Azli Samad