LMS pertama TLDM yang diberi nama KERIS
LMS pertama TLDM yang diberi nama KERIS
Hasbi Sidek


TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberikan penjelasan mengenai isu isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi, menyempurnakan upacara penamaan dan pelancaran Kapal Misi Pesisir (LMS) di China, semalam.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata, pemilihan wanita untuk menyempurnakan upacara itu sudah menjadi tradisi pasukan berkenaan sejak ia ditubuhkan.

Katanya, individu dipertanggungjawabkan untuk menyempurnakan upacara itu digelar ‘Lady Sponsor’ atau wanita terpilih dalam kalangan kenamaan.

“TLDM amat berterima kasih atas keprihatinan masyarakat Malaysia susulan berita disiarkan mengenai pelancaran kapal baru itu.

“Pelancaran dan penamaan kapal TLDM oleh wanita dilaksanakan selama ini adalah upacara tradisi sejak Royal Navy ditubuhkan lagi, namun disesuaikan dengan syariat Islam dan adat ketimuran Malaysia.

“Lady Sponsor atau wanita terpilih dalam kalangan isteri kenamaan seperti isteri kepada Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan kerabat diraja atau sultan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi kapal dinamakan sempena nama negeri, isteri atau wanita berkaitan dengan negeri terbabit akan dipilih.

“Contoh, KD Kedah dinamakan oleh Puteri Sultan Kedah, Datuk Seri Tengku Puteri Intan Safinaz. Bagi kapal dinamakan sempena nama pahlawan, wanita kepada waris nama berkenaan atau wanita kenamaan dari negeri itu akan dipilih.

“Kapal Tempur Pesisir (LCS) 1 iaitu Maharajalela dinamakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Bagi kapal selain nama negeri dan pahlawan, isteri kenamaan negara dipilih, sebagai contoh KD Tunku Abdul Rahman dinamakan oleh Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri Timbalan Perdana Menteri ketika itu,” katanya.

Menurutnya, pada 1995, KD Jebat dinamakan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (ketika itu Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali) pada ketika itu isteri kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 9:19 PM