ANGGOTA polis mengusung mayat suami isteri yang ditemui mati dalam bilik rumah di Tasek Gelugor, semalam. FOTO Rosli Ahmad
ANGGOTA polis mengusung mayat suami isteri yang ditemui mati dalam bilik rumah di Tasek Gelugor, semalam. FOTO Rosli Ahmad
Nur Izzati Mohamad

POLIS mengesahkan wanita yang ditemui mati dalam bilik sewanya di Jalan Pokok Machang, di sini, pagi semalam dibunuh oleh suaminya sebelum lelaki itu menggantung diri menggunakan sari.

Ia berdasarkan laporan bedah siasat Unit Patalogi terhadap mayat wanita berusia 27 tahun itu yang mendapati terdapat unsur lemas berkemungkinan mukanya ditekup objek lembut iaitu bantal atau tuala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata selain bantal dan tuala kecil yang berada dalam mulut isteri lelaki berkenaan.

“Temubual yang dibuat polis dengan tuan rumah suami isteri itu menyewa memaklumkan bahawa pasangan itu pernah bergaduh namun tidak serius.

“Adik lelaki si mati yang tinggal sekali di rumah itu juga memaklumkan perkara sama seperti yang diberitahu tuan rumah dan kali terakhir berjumpa kakak iparnya pada malam Sabtu lalu manakala abangnya pulapada malam Ahad,” katanya dalam kenyataan di TAsek Gelugor, hari ini.

Dalam kejadian 9.15 pagi semalam, lelaki berusia 31 tahun ditemui mati dalam keadaan tergantung manakala isterinya terbaring di atas katil dengan mulut berlumuran darah.

Kejadian itu disedari tuan rumah berusia 30 tahun yang pulang ke rumahnya dari tempat kerja kerana berasa tidak sedap hati sebelum menemui pasangan berkenaan yang sudah tidak bernyawa.

Pasangan itu yang sebelum ini menetap di Bidor, Perak datang bekerja di Pulau Pinang yang mana lelaki itu sebagai kelindan lori manakala isterinya pula seorang operator kilang.

Mereka berdua menyewa di rumah berkenaan sebulan yang lalu bersama adik lelaki si mati berusia 21 tahun.

Noorzainy berkata, waktu kematian wanita itu dianggarkan berlaku dalam tempoh di antara 24 hingga 36 jam.

“Punca dan motif mengapa suami mangsa sanggup bertindak sedemikian masih dijalankan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dapat tampil membantu siasatan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Suami isteri ditemui mati [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:48 PM