Izlaily Nurul Ain Hussein


TIGA individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu, direman lima hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman yang dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Faridatul Farrah Mohd Shukri itu berkuatkuasa hari ini sehingga Sabtu ini.

Tempoh itu dibenarkan mahkamah bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap tiga suspek berusia antara lingkungan 40-an hingga 50-an itu.

Tiga suspek iaitu pengarah syarikat swasta, pensyarah Kolej Komuniti Ampang, Selangor dan Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi dengan berpakaian jingga lokap SPRM dan bergari diiringi pegawai SPRM.

Semalam, ketiga-tiga suspek itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang di Pejabat SPRM Johor.

SPRM berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek bersubahat mengemukakan tuntutan palsu kepada UTM berkaitan perbelanjaan program Dana Kebolehpasaran Graduan (GE) berjumlah RM689,000 sedangkan program itu tidak dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 12:42 PM
TIGA individu ditahan SPRM kerana disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu direman lima hari bagi membantu siasatan di Mahkamah Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TIGA individu ditahan SPRM kerana disyaki bersubahat membuat tuntutan palsu direman lima hari bagi membantu siasatan di Mahkamah Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin