KEADAAN lori yang tersekat di jambatan. FOTO Khalid Latip
KEADAAN lori yang tersekat di jambatan. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


PEMANDU lori berdepan detik cemas apabila kenderaan yang diparkir di hadapan sebuah rumah tiba-tiba mengundur di Kampung Sungai Endot, Kabong, Saratok, petang semalam.

Kejadian jam 5.15 petang itu menyebabkan kerosakan jambatan kayu yang menjadi laluan utama penduduk kampung.

Menurut sumber, lori itu berhenti di hadapan sebuah rumah untuk memunggah muatan batu dan pasir yang ditempah oleh seorang penduduk.

“Pemandu berusia 40 tahun itu kemudiannya keluar dari lori untuk melihat lokasi sesuai bagi meletakkan muatan yang beratnya kira-kira lima tan itu. Bagaimanapun, keadaan bertukar panik apabila lori itu tiba-tiba mengundur.

“Beberapa penduduk yang kebetulan berada di situ cuba membantu dengan meletakkan batu-bata pada bahagian tayar lori namun usaha itu tidak berjaya. Pada masa sama, pemandu bergegas masuk ke dalam lori untuk menghidupkan enjin kenderaannya tetapi ia juga gagal,” katanya.

Sumber itu berkata, kenderaan yang gagal dikawal itu mengundur laju ke jambatan.

Akibat kejadian itu, lori terbabit nyaris terjatuh ke dalam parit namun bernasib baik apabila tayar di depannya tersekat di jambatan.

“Pemandu lori yang tidak mengalami sebarang kecederaan dikeluarkan dari kenderaannya oleh orang kampung. Kejadian menyebabkan jambatan rosak teruk tetapi pada masa yang sama, ia menjadi benteng penyelamat sebuah rumah daripada dirempuh lori berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 12:00 PM