Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PERGADUHAN di Bilik Gerakan Utama (BGU) Pakatan Harapan (PH) di Bandar Ekar, Rantau, malam tadi, berpunca akibat ketidakpuasan hati berhubung pembayaran kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, kejadian 7.30 malam itu menyebabkan seorang lelaki berusia 50 tahun cedera akibat ditumbuk dan dicekik.

Katanya, polis mengerahkan 10 anggota ke lokasi dan sebaik tiba, pergaduhan sudah berlaku sesama ahli parti.

“Kejadian itu bermula dengan perang mulut sebelum mangsa cuba meleraikan. Lelaki itu difahamkan menjadi orang tengah antara calon PKR, Dr S Streram dengan ahli parti berhubung pembayaran kempen.

“Pergaduhan meletus dengan maki hamun dan tolak-menolak sebelum mangsa dicekik dan ditumbuk,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Ahmad Jamaluddin.

Mohamad berkata, anggotanya sempat mengiringi Dr Streram keluar dari BGU dan kini sedang mencari saksi kejadian.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur, jam 12.01 tengah malam. Laporan itu akan disiasat di daerah ini mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu lima suspek utama pergaduhan berkenaan.

Menurutnya, sepanjang PRK berlangsung polis menerima 135 laporan dengan 21 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Buat masa ini satu kes sudah didakwa di mahkamah dan selebihnya masih menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Berita berkaitan

Penyokong PH gaduh sesama sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 2:29 PM