Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS akan membantu pihak berkuasa Indonesia berhubung penemuan kertas undi Pilihan Raya Umum pemilihan Presiden negara itu di Kajang, Khamis lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mendapatkan bantuan Polis Republik Indonesia (POLRI).

“Memandangkan kes ini tidak membabitkan pelanggaran undang-undang di Malaysia, PDRM mendapatkan bantuan POLRI.

“Siasatan berhubung kejadian sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pada Khamis lalu, polis menerima dua laporan berhubung penemuan ratusan karung beg mengandungi kertas undi Pilihan Raya Umum pemilihan Presiden Indonesia di Kajang Utama, Kajang.

Sumber berkata, laporan dibuat dua individu iaitu seorang lelaki warga Indonesia dari Badan Pemenangan untuk calon nombor (02) Probowo-Sandi dan Panitia Pengawas Pilihan Raya Umum Luar Negeri Kuala Lumpur.

“Individu pertama dalam laporannya menyatakan pihaknya menemui kertas undi dalam 157 karung dan plastik hitam dalam sebuah rumah kedai,” katanya.

Berita berkaitan

Upah 50 sen tanda kertas undi

Indonesia siasat 20,000 kertas undi di Selangor

Pelik kertas undi bertanda di rumah kedai... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 11:37 AM