SHAH Richa bersama  Irsalina Nadia (kanan) dan dua  anak saudaranya  pada Karnival Pameran Permainan 2019 di Kluang Junction, Kluang.
SHAH Richa bersama Irsalina Nadia (kanan) dan dua anak saudaranya pada Karnival Pameran Permainan 2019 di Kluang Junction, Kluang.
Adnan Ibrahim


SANGGUP berhabis duit lebih RM30,000 semata-mata memenuhi hobi dua anaknya yang mengumpul 1,673 model kenderaan termasuk kereta, basikal, motosikal dan kapal sejak 10 tahun lalu.

Lebih unik lagi, keluarga enam beranak yang tinggal di FELDA Ulu Tebrau di Ulu Tiram ini memilih warna merah untuk setiap model kenderaan sebagai koleksi simpanan mereka dan dipamerkan kepada orang ramai dalam setiap karnival disertai di dalam negeri Johor.

Shah Richa Abd Jalil, 44, berkata, hobi itu dikongsi anak sulungnya, Irsalina Nadia, 22, dan anak ketiga, Irfan Nazib, 14, yang meminati model pengangkutan.

Bagaimanapun anak kedua dan keempatnya meminati hobi mengumpul koleksi patung Hello Kitty.

Katanya, meskipun hobi itu dianggap satu pembaziran, namun tidak bagi keluarganya.

“Kami sekeluarga menganggap hobi mengumpul pelbagai model pengangkutan ini sebagai inspirasi kepada anak dalam pelajaran mahu pun kehidupan harian.

“Ada juga yang mengatakan pemilihan warna merah ini mengikut kepercayaan sesuatu kaum, namun hakikatnya keluarga kami amat meminati warna cerah seperti ini,” katanya ketika ditemui di Karnival Pameran Permainan 2019 anjuran Belia 4B Negeri Johor dengan kerjasama Johor Hot Wheels Community (JHWC) dan Kluang Diecast di Ruang Legar Kluang Junction di sini, semalam.

Karnival itu dirasmikan Presiden Belia 4B Negeri Johor, Hafiz Jalaluddin Abd Manaf.

Katanya, model kereta kecil berwarna merah mudah dicari dan banyak dijual di pasaran tempatan.

Katanya, dia dan dua anaknya akan mengikuti perkembangan semasa setiap keluaran terbaharu kenderaan kecil terbabit.

“Apa juga jenis kenderaan mini dikeluarkan, kami cuba mencarinya sama ada ada dijual di pasaran biasa mahupun dalam talian,” katanya.

Menurut Shah Richa, semua koleksi yang berada di dalam simpanan keluarganya tidak dijual.

“Bagi kami ia bagaikan sesuatu yang istimewa bukan hanya kepada dua anak kami itu malah kesayangan seluruh ahli keluarga.

“Sebagai ahli Kelab Diecast Malaysia, keluarga kami bersedia untuk turut serta dalam apa juga karnival berkaitan model permainan ini kerana ia minat kami bersama untuk dikongsikan dengan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Hafiz Jalaludin berkata, objektif utama karnival itu dianjurkan bagi mengajak golongan belia khususnya di Kluang berkongsi hobi unik.

“Secara tidak langsung dengan memiliki sekurang-kurangnya satu hobi boleh menghindarkan mereka daripada terjebak gejala sosial,” katanya.

Katanya, hasil daripada maklumat diberikan, ramai pempamer dalam karnival ini membabitkan golongan belia.

“Mereka bergerak secara sambilan dengan menjadikan model kereta atau figura sebagai lubuk duit keluarga walaupun mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

“Pihak kami akan membuat perancangan supaya karnival seperti ini dapat dilaksanakan lebih kerap lagi dalam membantu golongan belia menjana pendapatan sampingan untuk menyara kehidiupan keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:40 AM