THAM terus  menghasilkan seni terompah yang diwarisi daripada keluarga.
THAM terus menghasilkan seni terompah yang diwarisi daripada keluarga.
Nur Saliawati Salberi


SEBUT sahaja terompah, mungkin ramai generasi muda masa kini terutama remaja dan kanak-kanak tidak mengenali malah tidak pernah memakainya.

Namun, inilah pengalas kaki yang digunakan seharian oleh masyarakat dahulu yang peranannya kini diambil alih selipar.

Secara tipikalnya, terompah dikenali dengan warna merah tanpa corak.

Terompah kayu menjadi pilihan si pemakai untuk ke mana sahaja namun kini ia bagaikan tenggelam dalam arus peredaran zaman apabila tidak lagi kelihatan masyarakat memakainya sama ada ke pasar mahupun bersiar-siar.

Apakah masih ada penghasilan terompah ini atau sudah pupus sepenuhnya?

Sebenarnya masih ada individu yang mencintainya kerana tidak mahu tradisi yang sinonim dengan masyarakat Cina dan Baba Nyonya itu terus dilupakan, sekali gus hilang dibawa arus komodenan.

PAKU digunakan untuk melekatkan getah pada terompah.
PAKU digunakan untuk melekatkan getah pada terompah.

Wanita warga emas yang juga pengusaha terompah dikenali sebagai Tham, 60, masih giat menghasilkan pengalas kaki kayu itu.

Dalam premis kayu berusia 100 tahun yang terletak di Kampung Jawa di sini, Tham menghabiskan masa sehariannya dengan melakukan usaha akhir menyiapkan terompah membabitkan proses mengecat serta memasang paku pada bahagian tali.

Tham berkata, pembuatan terompah diwarisi daripada mendiang bapanya dan dia berjanji mahu meneruskan tradisi pembuatan terompah selagi terdaya.

“Permintaan terompah pada masa kini sangat kurang dan biasanya akan dibeli pelanggan tetap seperti mereka memakainya untuk ke surau serta pelancong asing.

“Dahulu peniaga di pasar gemar memakai terompah kerana tahan lama serta kalis air dan memudahkan mereka melakukan kerja namun kini jarang memakainya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia mahu terompah kembali menjadi tarikan dan enggan terikat dengan tipikal terompah berwarna merah.

Justeru, dia menggunakan pelbagai warna selain menambah corak lukisan sama ada bunga atau watak kartun bagi menarik minat golongan muda.

“Selain menjual sendiri, ada juga peniaga datang membelinya untuk dijual di kedai mereka sebagai cenderahati.

“Untuk menarik minat pembeli, saya warnakan dan menggunakan tali plastik pelbagai warna selain mengupah orang untuk melukis corak pada terompah terutama saiz kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, pelanggan yang hanya dikenali sebagai Ucai, 26, berkata, dia membeli terompah untuk kegunaan bapanya ke surau.

Katanya, apabila diminta membelikan terompah, dia akan ke kedai Tham kerana sejak dahulu bapanya melanggan terompah di situ.

“Apabila terompah yang dipakai bapa rosak, dia akan minta terompah baharu dan menurutnya, terompah dibuat Tham selesa dipakai,” katanya.

PONDOK berusia 100 tahun menjadi saksi ketekunan keluarga Tham menghasilkan terompah.
PONDOK berusia 100 tahun menjadi saksi ketekunan keluarga Tham menghasilkan terompah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:20 AM