KENDERAAN membawa Rosmah meninggalkan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KENDERAAN membawa Rosmah meninggalkan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan didakwa di mahkamah esok berhubung penyelewengan projek solar sekolah di Sarawak.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini berkata, Rosmah akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi esok.

Katanya, beliau bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“SPRM sudah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh Rosmah di mahkamah esok.

“SPRM menahan Rosmah pada jam 1.45 petang hari ini selepas beliau hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes itu. “Beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Terdahulu, Rosmah dilihat tiba di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya jam 1.40 petang dengan menaiki Proton Perdana.

Beliau kemudian dilihat keluar dengan menaiki kenderaan sama kira-kira 3.10 petang.

Sebelum ini, Rosmah pernah didakwa atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta, November lalu.

Rosmah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 3:50 PM