IZHAM (tengah) bersama Ishak (tiga dari kiri) dan Pengarah FAMA Negeri Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin (kanan) melawat pameran dan produk usahawan. FOTO Saddam Yusoff
IZHAM (tengah) bersama Ishak (tiga dari kiri) dan Pengarah FAMA Negeri Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin (kanan) melawat pameran dan produk usahawan. FOTO Saddam Yusoff
Faliq Lajim


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia membantu menstabilkan harga telur ayam yang tidak menentu ketika ini.

PengerusI FAMA, Ishak Ismail berkata, ketidaktentuan yang berlaku adalah fenomena biasa iaitu naik turun terutamanya ketika memasuki fasa Ramadan dan Aidilfitri.

“Namun, setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang aduan mengenai keadaan harga telur yang kritikal atau melambung begitu tinggi.

“Harga telur tidak menentu ketika ini dianggap fenomena biasa yang mana ia adalah satu pusingan (harga) yang perlu diterima kerana setiap tahun begitu. Kita melihat pasaran (harga) ketika ini adalah terkawal.

“Bagaimanapun, sekiranya ada keperluan FAMA memasuki pasaran bagi menstabilkan harga telur, kita akan masuk,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas peranan FAMA dalam menstabilkan harga telur yang tidak menentu sehingga mencecah 40 sen sebiji mengikut gred sejak Disember lalu

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Seminar Galakan Pasaran Tempatan dan Antarabangsa Agropreneur Negeri Selangor 2019 di Wisma PKPS Seksyen 14, di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

Dalam pada itu, Ishak berkata, harga telur yang dijual di pasar tani ketika ini adalah sekitar 36 sen sebiji mengikut gred.

“Pengusaha telur ayam berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), namun dari segi pengeluaran, FAMA hanya menyediakan ruang pasaran kepada pengusaha kita.

“Apa yang kita akan lakukan adalah memperbanyakkan cawangan kita di pasar tani dengan menawarkan harga pasaran mentah.

“Kita mempunyai rangkaian untuk membawa terus telur ini dari kilang dan ladang untuk dijual di pasar tani bagi membolehkan harga ditawarkan lebih rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 8:38 PM