AHLI Briged Sukarelawan MPB memasang tujuh panel solar sekali gus memberi manfaat kepada lebih 30 penduduk di Kampung Pulau Che Soh, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHLI Briged Sukarelawan MPB memasang tujuh panel solar sekali gus memberi manfaat kepada lebih 30 penduduk di Kampung Pulau Che Soh, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris

TUJUH panel solar yang dipasang di Kampung Pulau Che Soh, Tumpat, memberi manfaat kepada lebih 30 penduduk kawasan berkenaan.

Panel solar disumbangkan Media Prima Berhad (MPB) itu amat diperlukan berikutan sejak sekian lama gugusan kepulauan berkenaan hanya mempunyai dua tiang lampu yang menerangi jalan.

Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat MPB Azlan Abdul Aziz berkata, sumbangan itu menerusi tabung bencana yang diwujudkan pada 2014.

“Panel solar dipasang oleh lima ahli Briged Sukarelawan Media Prima/NSTP dan sumbangan bertepatan dengan misi tabung iaitu membantu mangsa musibah banjir pada 2014 yang mana kampung ini antara lokasi turut terjejas.

“Kita harap pemasangan panel solar dimanfaatkan sepenuhnya penduduk kampung,” katanya, semalam.

Penduduk Kamaruzaman Omar, 58, berkata pada sebelah malam kebanyakan penduduk di kampung berkenaan tidak keluar melainkan ada urusan penting.

“Keadaan kampung yang jalannya tidak diturap dengan tar selain kiri kanan jalan dipenuhi semak dan hutan membimbangkan kami untuk keluar malam.

“Lazimnya, penduduk bergantung kepada lampu suluh atau lampu motosikal saja. Kami berterima kasih kepada MPB dan UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) kerana menyediakan kemudahan ini,” katanya.

Pemasangan panel solar dilakukan melalui kerjasama antara Briged Sukarelawan Media Prima/NSTP dengan sukarelawan UKM sempena program khidmat masyarakat universiti itu.

Program selama dua hari bermula kelmarin membabitkan 53 sukarelawan UKM yang berkampung di situ.

Mereka menjalankan kerja sukarela termasuk membaik pulih jeti dan membuat mural di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, iaitu satu-satunya sekolah di gugusan kepulauan yang mempunyai 13 kampung itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Program Nor Haliza Harun berkata, program khidmat masyarakat berkenaan adalah kali ketiga dilakukan di kampung terbabit yang mana ia dimulakan sejak 2014 oleh alumni UKM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:30 AM