SESI latihan sukan paramotor sesi latihan yang diadakan dekat R&R  Bagan Ajam, Butterworth.
SESI latihan sukan paramotor sesi latihan yang diadakan dekat R&R Bagan Ajam, Butterworth.
Nur Izzati Mohamad


DEMI melonjakkan aktiviti sukan udara, seorang pesara melakukan inovasi hingga terhasilnya set peralatan paramotor ciptaannya sendiri bagi membolehkan peminat sukan itu mampu memilikinya dengan harga jauh lebih rendah.

Ghazali Johari, 61, yang dahulunya bekerja sebagai pembantu jurutera di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai minat dalam hal berkaitan mesin hingga mempunyai bengkel membaik pulih di rumahnya dekat Kepala Batas.

Menurutnya, selepas bersara enam tahun lalu, dia dibawa mengenali sukan paramotor hingga mencetuskan idea untuk inovasi alatan penerbangan berkenaan.

“Semua sedia maklum bahawa sukan paramotor ini bukan murah dan untuk memiliki set penerbangan hingga ada membelanjakan wang lebih RM30,000.

“Melalui inovasi dilakukan, saya membeli enjin dari Itali termasuk beberapa komponen dari luar negara kemudian saya mereka bentuk sendiri set paramotor hingga harganya boleh dikurangkan, sekali gus meringankan perbelanjaan peminat sukan ini yang mahu memilikinya,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan sesi latihan paragliding di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam di sini, semalam.

Menurutnya, set peralatan paramotor dihasilkannya boleh dijual antara harga RM15,000 ke RM16,000 saja.

Katanya, seseorang yang mahu berkecimpung dalam sukan paramotor perlu menjalani latihan asas dengan mengetahui cara untuk mengawal payung sebelum dibawa ke kawasan penerbangan sebenar.

 Ghazali Johari
Ghazali Johari

“Asas perlu ada sama seperti sukan paragliding yang mana paramotor juga asalnya daripada sukan itu cuma bezanya ia memiliki enjin untuk menerbangkan payung.

“Berikutan itu, peminat sukan ini kerap mengadakan latihan bersama bagi membolehkan sesiapa yang berminat mempelajarinya, sekali gus menguasai penerbangan tidak kira paragliding atau paramotor,” katanya.

Ghazali berkata, dia menyedari sesi latihan yang diadakan dekat R&R serta di kawasan lain di utara kerap dikunjungi golongan pelajar yang berminat ke arah sukan udara itu namun mereka berdepan kekangan kewangan memandangkan harganya agak mahal.

“Oleh itu, kita mengambil peluang mendedahkan sukan ini dengan mengalu-alukan mereka yang berminat untuk mempelajari latihan dengan kadar bayaran berpatutan disamping dapat menjadikannya satu aktiviti riadah,” katanya.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh memupuk minat terhadap aktiviti sukan yang mula popular di negara ini sekali gus menanam azam untuk memiliki set kelengkapan sendiri suatu hari nanti,” katanya.

Jelasnya, sesi latihan mengawal dan mengendalikan payung diadakan pada setiap hari jam 3 petang sebelum peserta dibawa ke kawasan penerbangan sebenar pada hari minggu apabila sudah mahir.

Sementara itu, juruteknik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mohd Fuad Mohd Yusoff, 41, teruja apabila dapat mempelajari sukan udara berkenaan.

“Dalam TUDM, saya sebelum ini hanya pernah mencuba penerbangan payung statik dan selepas melihat ada sukan udara seperti paramotor ini menimbul minat saya untuk belajar.

“Pada mulanya saya agak takut juga kerana paramotor ini satu sukan udara yang terbang bebas tetapi apabila berada di atas, perasaan itu sebenarnya terus hilang dan ia memberi keterujaan kepada saya yang baru saja belajar mengenai sukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 9:00 AM