BANGUNAN Tabung Haji di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Tabung Haji di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


SEPERTI dijangkakan sesi penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menjadi hangat dan kecoh apabila isu Lembaga Tabung Haji (TH) dibangkitkan.

Pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, pembangkang mengambil peluang untuk mempersoalkan tindakan kerajaan yang meletakkan pengurusan aset TH bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat bertujuan khas (SPV) yang diuruskan oleh Prokhas Sdn Bhd yang Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Chen Yin Heng.

Kekecohan mula tercetus apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahmah (BN-Pasir Salak) bangkit dan bertanya kepada Mujahid mengapa membiarkan aset umat Islam diuruskan oleh syarikat berkenaan.

Mujahid yang ketika itu baru selesai memaklumkan pemberian hibah bagi tahun kewangan 2018 akan diumumkan selepas semua urusan ‘membetulkan’ kewangan TH selesai, terus mempertahankan keputusan itu kerana tindakan kerajaan adalah bertujuan mahu menutup ‘lubang’ angkara kerajaan sebelum ini.

“Kita mahu memberi hibah yang mengikut syarat, yang mematuhi Akta Tabung Haji 1985, kita mahu pastikan imbangan aset dan tabungan diselesaikan sebelum isytihar hibah,” katanya.

Perkataan ‘lubang’ itu kemudian dipersoalkan oleh Tajudin, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau).

“Apa lubang? Lubang mana? Tunjukkan mana lubang,” soal Tajuddin.

Mujahid berkata, laporan akaun TH pada 2017 dengan defisit sebanyak RM4.1 bilion adalah ‘lubang’ yang besar berjaya ditutup kerajaan hari ini.

“Kalau ada ‘lubang’ mengapa TH tiada masalah selama ini,” dakwa Tajuddin.

Pembangkang kemudian beralih kembali kepada isu Prokhas dan terus mempertikaikan peranan syarikat itu.

“Semua Ahli Lembaga Pengarah Melayu Islam, kenapa hanya seorang CEO bukan Islam dipertikaikan,” katanya.

Beberapa wakil rakyat pembangkang terus membuat bising dan bertikam lidah dengan Mujahid sebelum Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Yusof menangguhkan sidang dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:22 PM