GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah menerima 47 laporan polis sejak 2017 mengenai penipuan pelaburan yang didalangi lelaki bergelar Datuk Seri membabitkan kerugian RM2.6 juta.

Difahamkan, lelaki terbabit melalui syarikat yang beroperasi di Sungai Petani menawarkan pelaburan dengan pulangan lapan peratus setiap bulan menyebabkan mangsa gelap mata dan melabur wang mereka sebelum akhirnya menyedari ditipu.

Ketua JSJK Kedah, Superintendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, pada 2017 sebanyak 26 laporan polis dibuat membabitkan kerugian RM473,000, manakala tahun lalu sebanyak tiga laporan dibuat membabitkan kerugian RM567,200.

Menurutnya, bagi tahun ini pula, sudah 18 laporan polis diterima membabitkan kerugian RM1.03 juta.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan penipuan ‘Datuk Seri’ itu membabitkan individu yang bekerja dalam pelbagai bidang, sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta dan pesara, berusia antara 25 hingga 76 tahun.

“Skim ini didalangi individu bergelar Datuk Seri yang menawarkan skim pelaburan sejak 2016 dengan menjanjikan pulangan lapan peratus setiap bulan.

“Malah, ada yang sanggup melabur sebanyak RM230,000, namun hampa apabila langsung tidak mendapat sebarang pulangan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Annuar Amri berkata, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mereka juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya meragui sebarang skim yang ditawarkan,” katanya.

Annuar Amri turut menasihati orang ramai juga merujuk kepada Investor Alert dan maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Syarikat yang melanggar peraturan ini boleh diambil tindakan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukum penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya,” katanya.

Katanya, orang ramai juga digalakkan untuk menghubungi sendiri JSJK Kedah di talian 04-7741354 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 4:24 PM