Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Laporan Harian Metro, sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


PEMILIK kucing perlu menyerahkan haiwan peliharaan itu kepada pihak lain sekiranya tidak mampu untuk menjaganya bagi mengelak penganiayaan terhadap kucing.

Presiden Kelab Kucing Malaysia (KKM) Khalid Rashid berkata, haiwan itu tidak sepatutnya dibiarkan dikurung di dalam rumah tanpa penjaga bagi tempoh masa panjang.

“Adalah satu penganiayaan terhadap kucing jika dikurung di dalam rumah tanpa penjaga memberi makan dan minum kerana perbuatan itu boleh mengakibatkan ia mati.

“Sekiranya pemilik kucing berkenaan sudah tidak mampu untuk menjaganya, dia perlu menggunakan saluran betul dengan menyerahkan kucing kepada pihak lain yang boleh mengambil alih tugas menjaga haiwan berkenaan, bukan membiarkan ia begitu saja,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Harian Metro berhubung penemuan lapan bangkai kucing di rumah teres di Bandar Makhota Cheras, 25 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn terpaksa memotong mangga pagar dan pintu utama rumah berkenaan yang didapati tiada penghuni.

Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui lapan bangkai kucing dan tiga lagi kucing masih hidup, namun dalam keadaan lemah sebelum diberi makan dan minum oleh anggota bertugas.

Khalid berkata, meskipun tidak diketahui motif sebenar pemilik kucing berkenaan meninggalkan haiwan peliharaannya itu di dalam rumah berkenaan, namun kejadian itu tidak sepatutnya berlaku jika ditangani dengan baik.

“Kita bersangka baik, mungkin ada musibah menimpa pemilik kucing itu hingga dia terpaksa meninggalkan ia di dalam rumah berkenaan. Namun, kejadian itu dapat dielakkan jika pemilik bertindak dengan cara yang betul termasuk tidak mengurung haiwan berkenaan di dalam rumah kosong.

“Sekurang-kurangnya haiwan itu tidak mati kelaparan kerana tidak makan dan minum selain boleh mencari makanan sendiri di luar kawasan rumah terbabit.

“Jika ada individu sememangnya sengaja melakukan perkara itu, tindakan itu memang kejam kerana membiarkan kucing berkenaan kelaparan lebih sebulan,” katanya.

Berita berkaitan

Ingatkan mayat, rupanya bangkai kucing

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 5:22 PM