Amir Abd Hamid


KUALA LUMPUR: “Kami bimbang sekiranya pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan dan mengawal projek pembinaan serta perindustrian di pesisir Sungai Klang ini, apa yang berlaku di Sungai Kim Kim, akan berulang di sini,” itu keluhan penduduk Kampung Petaling Bahagia, Jalan Klang Lama, di sini, Abdul Razak Siron, 57, yang merujuk satu video tular pembuangan sisa dialirkan ke sungai berkenaan, minggu lalu.

Beliau berkata, keadaan Sungai Klang sememangnya sudah sedia kritikal.

Abdul Razak yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Petaling, Batu 6, Jalan Puchong berkata, air sungai berkenaan sudah berlendir dan hitam berbanding 30 tahun lalu.

“Sungai Klang ini saya lihat semakin lama semakin teruk. Pembuangan sampah-sarap, sisa industri dan pembinaan antara punca utama menyebabkan ia berlaku.

“Jangan harap nak makan ikan lagi dari sungai ini. Saya memang suka memancing, jika dapat ikan pun tak berani nak makan sebab hanyir dan busuk yang tentunya juga dicemari toksik.

“Saya berharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini. Sebaiknya kerap lakukan pemantauan dan rondaan supaya tak terjadi sebagaimana dialami penduduk berhampiran Sungai Kim Kim yang menderita akibat insiden pembuangan sisa bahan kimia ke sungai itu,” katanya.

Pesara tentera, Abd Rahman Bedin, 54, berkata, pihak berkuasa perlu memastikan pihak industri atau kontraktor pembinaan yang melakukan projek di tebing sungai mematuhi perjanjian dengan memastikan air sisa dilepaskan ke sungai adalah terkawal dan tidak mencemarkan sungai.

Katanya, sebarang perlakuan mencurigakan daripada mana-mana pihak perlu diambil tindakan segera dan jangan sampai sesuatu kejadian tidak dingini berlaku menyebabkan risiko kepada orang ramai.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati aliran air yang dilepaskan ke sungai dari saluran longkang besar yang tular beberapa hari lalu tidak lagi berwarna kehitaman seperti sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan, Aziah Jaafar berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan pelepasan air berwarna hitam ke Sungai Klang pada 24 Mac lalu kira-kira jam 7 malam.

“Siasatan dijalankan 25 Mac lalu ditumpukan kepada punca berdekatan lokasi pelepasan iaitu di kawasan Tiara Mutiara Service Apartment, tapak projek pembangunan bercampur, Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd yang sedang dalam pembinaan (kerja tanah) dan Loji Rawatan Kumbahan di Taman Nan Fong,” katanya.

“Semasa hari siasatan, tiada lagi pelepasan air berwarna hitam diperhatikan. Berdasarkan siasatan, punca pelepasan air berwarna hitam ke Sungai Klang itu tidak dapat disahkan berikutan punca yang disiasat didapati beroperasi dengan mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Rangkaian sistem perparitan yang terletak di bawah tanah di mana pelepasan berlaku menyukarkan Jabatan untuk mengenalpasti punca secara spesifik,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, sebagai tindakan pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang, pihak JAS mengeluarkan arahan kepada pemilik premis untuk memastikan tiada pelepasan air buangan secara terus ke dalam sungai tanpa rawatan.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 6:01 AM