KESAN luka pada lenggan Nanthini yang menjadi mangsa penipuan pembedahan kosmetik. FOTO Zunnur Al Shafiq
KESAN luka pada lenggan Nanthini yang menjadi mangsa penipuan pembedahan kosmetik. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nurul Hidayah Bahaudin dan Sharul Nazri Zulkifli Chow


AHLI perniagaan terpaksa menanggung derita apabila suntikan mencairkan lemak pada lengan yang dilakukannya di pusat rawatan kecantikan di Kuala Lumpur, Ogos lalu, kini dijangkiti kuman.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nanthini, 25, sudah mengikuti beberapa rawatan susulan di pusat rawatan kecantikan itu, namun kesakitan dialaminya tidak berkurangan.

Oleh kerana jangkitan kuman itu semakin teruk, Nanthini terpaksa merujuk masalahnya itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Menceritakan semula pengalamannya, Nanthini berkata, dia berhasrat membuang lemak pada lengan yang ditawarkan di pusat rawatan kecantikan berkenaan selepas tertarik dengan iklan di stesen radio.

Menurutnya, dia membuat temujanji untuk rawatan di situ 17 Ogos tahun lalu sebelum diyakinkan seorang wanita yang mendakwa sebagai doktor supaya mengambil rawatan menggunakan kaedah suntikan bagi mencairkan lemak.

“Doktor terbabit menawarkan harga RM700 bagi sesi rawatan pertama membabitkan suntikan bahan cecair (untuk mencairkan lemak) sebanyak 10 milimeter di kedua-dua lengan.

“Selepas sebulan mengikuti rawatan itu, lengan saya mula lebam dan membengkak akibat jangkitan kuman sebelum ia semakin merebak,” katanya pada sidang media di Biro Aduan Awam MCA, Kuala Lumpur, hari ini.

MICHAEL (kanan) ketika sidang media bersama mangsa penipuan pembedahan kosmetik di Wisma MCA. FOTO Zunnur Al Shafiq
MICHAEL (kanan) ketika sidang media bersama mangsa penipuan pembedahan kosmetik di Wisma MCA. FOTO Zunnur Al Shafiq

Nanthini berkata, sepanjang melakukan rawatan di pusat kecantikan berkenaan, ada tiga doktor yang melakukan suntikan mencairkan lemak di situ.

Katanya, selepas mengalami jangkitan kuman itu, dia ada merujuk masalah itu kepada doktor yang merawatnya dan disyorkan menjalani pembedahan membuang tisu yang membengkak akibat jangkitan terbabit.

“Ketika pembedahan itu dilakukan, saya merasa amat sakit kerana ia dilakukan tanpa diberikan bius, saya seperti dikelar hidup-hidup.

“Doktor wanita itu tidak sampai hati melihat keadaan saya ketika itu menyebabkan seorang lagi lelaki yang turut dikatakan doktor menggantikan tempatnya (melakukan pembedahan),” katanya.

Katanya, dia sudah mendapatkan rawatan lanjut di PPUM selama 12 hari kerana bengkak di lengan semakin merebak.

“Sepanjang tempoh itu, saya membayar kos perubatan kira-kira RM2,000 sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan susulan di klinik pakar kulit di Petaling Jaya, Selangor.

“Sehingga kini, saya sudah menghabiskan wang lebih RM5,000 untuk kos rawatan akibat jangkitan kuman itu,” katanya yang meminta bantuan Biro Aduan MCA bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Hasil pemeriksaan dilakukan Nanthini yang merujuk perkara itu kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mendapati tiga daripada individu melakukan proses suntikan terbabit adalah doktor tidak bertauliah.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya menerima tiga aduan membabitkan pembedahan kecantikan dilakukan doktor tidak bertauliah, tahun lalu.

“Kes itu membabitkan pembedahan hidung dan kelopak mata, selain rawatan laser pada bahagian muka yang mengakibatkan ada mangsa mengalami kecacatan kekal apabila rawatan terbabit tidak berjaya.

“Difahamkan kos bagi mendapatkan rawatan itu antara RM600 hingga RM13,000.

“Bagaimanapun, mangsa tidak menyedari bahawa individu yang melakukan rawatan berkenaan adalah doktor tidak bertauliah,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan kosmetik supaya menyemak latar belakang pusat kecantikan terlebih dulu dan memastikan doktor yang melakukan rawatan itu bertauliah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:25 PM