NIK Mohd Hasnul (kiri) dan ibunya Tuan Bidah terpisah dengan Hassan sejak 33 tahun lalu.
NIK Mohd Hasnul (kiri) dan ibunya Tuan Bidah terpisah dengan Hassan sejak 33 tahun lalu.
Redzuan Muharam


KUALA LUMPUR: “Saya mahu bertemu dengan ayah kerana ingin mengetahui alasan dia meninggalkan ibu tanpa sebarang khabar berita sejak 33 tahun lalu,” kata pensyarah kolej swasta, Nik Mohd Hasnul Fadzli Hassan, 33.

Beliau yang juga anak tunggal berkata, usaha mencari bapa kandungnya itu yang dikenali sebagai Hassan Osman berasal dari Sungkai, Perak baru dilakukan awal Mac ini menerusi hebahan di media sosial namun tiada petunjuk diperoleh sehingga kini.

Meskipun begitu, Nik Mohd Hasnul enggan berputus asa walaupun misi menjejaki bapanya itu agak sukar disebabkan ketiadaan gambar dan dokumen serta kekurangan maklumat berkaitan.

“Kali terakhir ibu, Tuan Bidah Tuan Pah, 80, bertemu dengan ayah adalah ketika ayah menghantarnya ke terminal bas Pudu, Kuala Lumpur iaitu 33 tahun lalu.

“Ketika itu, ibu sedang sarat mengandungkan saya dan pulang ke kampung di Ketereh, Kelantan untuk bersalin. Namun, selepas ibu selesai menjalani tempoh berpantang, dia diberitahu rakannya bahawa ayah sudah berkahwin lagi.

“Memandangkan ayah langsung tidak menghubungi atau pulang ke kampung , ibu terus menetap di kampung menyebabkan hubungan mereka terputus begitu saja.

“Menurut ibu, kampung ayah terletak di Sungkai, Perak cuma dia tidak pasti alamat yang tepat kerana sudah puluhan tahun tidak ke sana,” katanya.

Menurut Nik Mohd Hasnul, sejak ketiadaan bapa, ibu membesarkannya bersendirian dengan berniaga kuih-muih dan makanan di pasar awam.

Malah, Nik Mohd Hasnul juga mengakui dapat membiasakan diri sekalipun dirinya membesar tanpa kasih sayang bapa kandung seperti rakan sebaya yang lain.

“Jujurnya, saya tidak rasa kekurangan walaupun melihat kehidupan rakan lebih sempurna kerana dibesarkan ibu dan ayah.

“Ibu juga begitu dan sepanjang tinggal bersamanya, tidak sekalipun dia menunjukkan kesedihan atau meluahkan rasa rindu terhadap ayah.

“Diharap, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai ayah dapat menghubungi saya dengan segera kerana sebagai anak, saya mahu bertemu dengannya dan usaha mencari ini juga dilakukan bagi memenuhi permintaan ibu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Hassan boleh menghubungi Nik Mohd Hasnul di talian 0183551124 yang kini menetap bersama ibunya di Kampung Pangkal Kuang, Ketereh, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 7:00 AM