Yahasnidzal memeluk Che Teh yang merangkul gelaran Mek Gembo-Gembo dalam pertandingan Kambing Sado di Pantai Geting. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Yahasnidzal memeluk Che Teh yang merangkul gelaran Mek Gembo-Gembo dalam pertandingan Kambing Sado di Pantai Geting. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


KAMBING betina jenis Boer yang diberi nama Che Teh muncul juara sekali gus merangkul gelaran Mek Gembo-Gembo dalam Pertandingan Kambing Sado di Pantai Geting, Tumpat, hari ini.

Kambing milik Yahasnidzal Yaacob, 41, itu berentap bersama 10 kambing lain dalam kategori betina (Mek Gembo-gembo).

Tiga kategori lain yang dipertandingkan ialah jantan sado, jantan muda junior dan jantan muda dewasa (Awe Macho).

Telatah Che Teh yang kerap ‘mengembek’ seperti memanggil Yahasnidzal yang tiada di sisi mencuit hati orang ramai.

Sebaik Yahasnidzal berada di sisi, Che Teh akan mendiamkan diri.

Yahasnidzal berkata, dia tidak menyangka kambing betinanya seberat 60 kilogram (kg) itu muncul sebagai juara kerana persaingan yang sengit.

“Tiada persediaan khusus dibuat untuk pertandingan ini cuma saya menjaga kebersihan serta memberi makanan yang cukup.

“Saya membawa dua kambing sempena pertandingan hari ini yang mana seekor lagi meraih tempat ketiga bagi kategori kambing jantan sado,” katanya ketika ditemui hari ini.

Acara perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Mohd Saripuddin Ismail.

Seorang lagi peserta, Mohd Rozimi Mat Razak, 21 dari Chiku 5, Gua Musang, berkata dia membawa tiga kambing peliharaannya dari baka Boer dan Kalahari menyertai pertandingan itu.

“Ini adalah kali pertama, saya menyertai pertandingan sebegini dan mampu berada di tempat ketiga bagi kategori Awe Macho.

“Walaupun tidak menjadi juara, kepuasan dapat memeriahkan acara dan berkumpul bersama penternak lain sudah mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 7:18 PM