Dr Lee Boon Chye memaklumkan kementerian sedang mengkaji sama ada membenarkan atau tidak penanaman tumbuhan dikenali sebagai Hemp yang mempunyai ekstrak ganja
Dr Lee Boon Chye memaklumkan kementerian sedang mengkaji sama ada membenarkan atau tidak penanaman tumbuhan dikenali sebagai Hemp yang mempunyai ekstrak ganja
Shamsul Kamal Amarudin


CADANGAN untuk penanaman ganja secara besar-besaran untuk tujuan perubatan memerlukan kajian menyeluruh membabitkan beberapa kementerian sebelum sebarang keputusan dibuat untuk membenarkannya atau tidak, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, ketika ini tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman ganja secara besar-besaran kerana bahan itu diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952.

“Jika perlu dikaji, ia perlu kajian menyeluruh beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan mungkin juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri sebelum buat keputusan sama ada membenarkannya atau tidak,” katanya. Beliau diminta mengulas saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram di Selangor, Mohd Shaid Rosli, baru-baru ini, kepada Kerajaan Selangor untuk mempertimbangkan tanaman ganja di negeri itu bagi tujuan perubatan.

Mohd Shaid dilaporkan berkata bukan satu kesalahan jika tanaman ganja diusahakan bagi tujuan perubatan, malah Akta Dadah Berbahaya 1952 menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Beliau berkata, kajian bagi tanaman ganja pernah dibuat Pengarah Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mohamed Isa Abd Majid dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan, antara lain untuk menjadikan industri itu sebagai tanaman komersial bagi tujuan penyelidikan, perubatan serta eksport.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan debat di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam dekat sini, Dr Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata sebarang cadangan untuk menggunakan ganja dalam perubatan juga perlu mengemukakan permohonan mengikut tatacara yang ditetapkan kerana terdapat peraturan yang ketat mengenainya.

Beliau mengakui ada laporan yang pernah dikemukakan bahawa ganja antara lain boleh digunakan untuk membantu pesakit mudah tidur dan ada yang mengatakan ia boleh membantu mengurangkan rasa sakit untuk pesakit kanser.

“(Bagaimanapun), mereka yang ingin menggunakan ganja sebagai ubat perlu mengemukakan bukti sebab kita ada kawalan yang ketat berkaitan dengan (bilangan) dos (yang dibenarkan) serta bagaimana hendak menggunakannya.

“Jadi, bukan setakat ganja tetapi syarikat yang mengeluarkan (ubat berasaskan ganja) mesti mengemukakan kaedah penggunaan dan berapa dos yang kita boleh kawal, ini tatacara ketat yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini ada sebuah syarikat dikenali sebagai Novartis diberi lesen mengeluarkan ubat berasaskan ganja dikenali sebagai `ativex oromucosal spray’ pada tahun 2014, bagaimanapun lesen itu ditarik balik pada Julai 2017 berikutan tiada permintaan terhadap ubat berkenaan.

Dr Boon Chye juga berkata, kementerian berkenaan sedang mengkaji sama ada membenarkan atau tidak penanaman tumbuhan dikenali sebagai Hemp yang mempunyai ekstrak ganja tetapi dalam tahap rendah, untuk bahan bagi membuat produk seperti tali dan pakaian.

Katanya, walaupun penanaman Hemp lebih kepada aktiviti pertanian, tetapi disebabkan mempunyai kandungan ganja di dalamnya, maka ia turut berada bawah kawalan Kementerian Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 5:07 PM