LAPORAN portal berita Harian Metro, Rabu lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro, Rabu lalu.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“KAMI tidak menuduh sesiapa membela ular itu, namun kebarangkalian besar ia mungkin ular peliharaan penduduk di flat ini,” kata Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Zabri Awang ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Zabri berkata, ular sawa sepanjang dua meter itu seakan-akan haiwan peliharaan kerana keadaannya yang bersih dan tidak terlalu agresif.

“Memang pelik apabila ular sawa berada di tingkat 14 flat melainkan ia dibawa ke tingkat berkenaan.

“Biarpun kami tidak terlalu berpengalaman dalam hal membabitkan reptilia ini, kami boleh membezakan di antara ular sawa liar dengan ular sawa dipelihara,” katanya.

Beliau berkata, kejadian pada Rabu lalu menyebabkan 1,200 orang menghuni PPR itu ketakutan dan berasa tidak selamat.

“Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku menyebabkan penduduk berasa hairan dengan kehadiran reptilia berkenaan.

“Kami mengesyaki ia haiwan peliharaan penduduk cuma tidak pasti siapa pemiliknya.

“Tidak mustahil ular sawa itu terlepas daripada sangkar seterusnya menyelinap masuk ke rumah berkenaan,” katanya.

Zabri berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat bukti kukuh mengenai kegiatan penduduk membela haiwan liar itu.

“Kami menasihati semua penduduk supaya tidak membela atau menternak apa sahaja haiwan yang berisiko di PPR itu.

“Tidak sesuai haiwan jenis eksotik dipelihara di PPR yang didiami ramai orang,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian menimpa seorang remaja perempuan selepas dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa sepanjang dua meter di atas katilnya.

Kejadian dipercayai berlaku pada 4.20 pagi ketika mangsa, Nor Alia Aqilla Jamaluddin, 18, sedang tidur sebelum dengan kehadiran objek lembik di lehernya.

Berita berkaitan

'Macam mana ular sawa naik tingkat 14?'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 9:37 PM