KUCHING 21 MAC 2019. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ( berdiri tiga dari kanan) menyaksikan menandatangani dokumen perjanjian diantara   Serba Dinamik Sdn. Bhd. & PETRONAS Carigali Berhad, di  Kuching.  NSTP/ L. MANIMARAN
KUCHING 21 MAC 2019. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ( berdiri tiga dari kanan) menyaksikan menandatangani dokumen perjanjian diantara Serba Dinamik Sdn. Bhd. & PETRONAS Carigali Berhad, di Kuching. NSTP/ L. MANIMARAN
Muhd Amirul Faiz Ahmad


SARAWAK tidak obses mengawal sumber minyak dan gas milik negeri itu, sebaliknya hanya mahukan perkongsian keuntungan yang lebih adil demi, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu lagi ‘berputih mata’ melihat kemajuan di negeri lain sedangkan hasil minyak dan gas diambil dalam wilayahnya.

Katanya, kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama dengan PETRONAS meneroka peluang bagi mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.

“Banyak dana diperlukan Sarawak untuk menanggung kos pembangunan di seluruh negeri, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

“Kita juga mahu berterima kasih kepada PETRONAS kerana banyak membantu ‘Anak Sarawak’ dalam sektor gas dan minyak menerusi sistem vendornya,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) dan PETRONAS, di Kuching, hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah.

Ia membabitkan tanggungjawab Serba Dinamik menyediakan kawal selia, pembinaan dan ubah suai (ONMCM) kepada fasiliti PETRONAS di Bintulu dan Miri membabitkan nilai kontrak RM313 juta.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri menerusi Petroleum Sarawak (PETROS) dan PETRONAS masih berunding untuk mencari formula berkesan meningkatkan penguasaan negeri dalam sektor minyak dan gasnya.

“Hari ini, harga minyak mentah brent sekitar AS$68 (RM275) setong dan perkiraan dalam bajet Sarawak tahun ini membabitkan AS$60 (RM243) setong.

“Jadi, kalau ada lebih, kerajaan negeri dapat bonus dan jika harga minyak naik, untung PETRONAS juga naik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:07 PM