50 sekolah tahfiz tidak cukup untuk menampung pelajar yang ramai. FOTO/NSTP
50 sekolah tahfiz tidak cukup untuk menampung pelajar yang ramai. FOTO/NSTP
Suraya Roslan


PERSATUAN Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) menyambut baik titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua sekolah tahfiz swasta yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Pengerusinya, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, setakat ini lebih 350 tahfiz berdaftar dengan JAIS manakala 50 lagi dalam proses pendaftaran sementara berikutan tidak mencukupi 20 pelajar.

“Ada sesetengah sekolah tahfiz bukan tidak mahu berdaftar, tetapi dalam proses pendaftaran.

“Terdapat 50 sekolah tahfiz yang tidak mencukupi 20 pelajar akan diberi tempoh tertentu, sekiranya tempoh itu tamat mereka boleh membuat rayuan hingga mencapai jumlah pelajar mencukupi.

“Jika masih tidak cukup, maka cadangan penutupan akan diberi. Kita tidak mahu sekolah tahfiz menjadi fitnah dan menyambut baik seruan Tuanku ini, mudah-mudahan tiada sekolah tahfiz yang ditutup jika mengikut prosedur digariskan JAIS dan PITAS,” katanya.

Menurutnya, PITAS bekerjasama dengan JAIS dan sudah bergerak selama setahun mengarahkan semua sekolah tahfiz berdaftar.

“Banyak (sekolah tahfiz) sudah daftar dan tiada isu sekolah tahfiz tidak berdaftar sebenarnya, cuma kadang-kadang ada kekangan jumlah pelajar tidak cukup dan mereka diberi tempoh tertentu untuk mencukupkan jumlah pelajar, baru boleh buat pendaftaran sementara.

“Untuk dapat pendaftaran penuh prosesnya lima tahun sekali dengan mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan tauliah guru mengajar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Muhamad Hafiz berkata, pada November 2017, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS bersama 12 PBT di Selangor termasuk PITAS bermesyuarat membuat satu garis panduan khas bagi membantu sekolah tahfiz yang mempunyai masalah mengenai prosedur PBT.

“Semua PBT sudah beri laporan rasmi kepada JAIS, saya sudah jumpa MB (Menteri Besar) lama dan baru yang kedua-duanya bersetuju untuk ada kumpulan pemutihan kilang haram iaitu standard bangunan kilang haram dibuat kebenaran merancang semula,” katanya.

“Sekolah tahfiz di Selangor akan jadi contoh untuk negeri lain dengan mendapat kebenaran merancang... Tinggal tunggu masuk dalam mesyuarat kerajaan negeri untuk diluluskan garis panduan, selepas ini makin banyak sekolah tahfiz di Selangor akan dapat pendaftaran penuh,” katanya.

Menurutnya, sebenarnya titah Tuanku lebih kepada sekolah tahfiz yang tidak mahu berubah, tidak mahu berdaftar dan masih lagi buat sambil lewa.

“JAIS menerusi Bahagian Pendidikan Islam melakukan pemantauan khas selama sebulan melawat semua sekolah tahfiz di Selangor bersama PITAS.

“Jadi, kita fikir bagi sekolah tahfiz yang tidak mahu berubah dan masih ditakuk lama cadangan penutupan adalah langkah sewajarnya,” katanya.

Katanya, di Selangor juga, pihaknya mewujudkan kelas ‘fast track’ Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan 300 pelajar.

“Kita tidak mahu mereka belajar tahfiz saja tetapi asas akademik contohnya 3M, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik supaya apabila mengambil SPM mereka tidak terkejut.

“Malah, kita tidak mahu pelajar hafaz al-Quran saja hingga tiada asas akademik, esok (hari ini) persatuan tahfiz akan membentangkan satu cadangan silibus kurikulum untuk dibawa ke mesyuarat MAIS untuk diluluskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 6:00 AM