JOHOR BAHRU 18 MAC 2019. Penemuan beberapa tong biru berbau seakan cuka yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai Sembilang berhampiran SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
JOHOR BAHRU 18 MAC 2019. Penemuan beberapa tong biru berbau seakan cuka yang dibuang pihak tidak bertanggungjawab ke dalam Sungai Sembilang berhampiran SMK Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Mohd Sabran Md Sani


“SAYA tidak boleh mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal.

Itu reaksi diberi Dr Sahruddin ketika dihubungi wartawan Harian Metro, mengenai penemuan kira-kira 10 tong biru dipercayai bahan toksik yang ditemui di Sungai Masai, Pasir Gudang, sejak semalam.

Ketika ini, pihak berkuasa giat menjalankan kerja pembersihan sisa toksik itu di kawasan sungai berkenaan.

Dr Sahruddin berkata, pihaknya maklum dengan penemuan itu dan agensi berkaitan sudah mengambil tindakan.

“Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor sudah pergi ke lokasi dan mengambil tindakan dengan mengumpul tong berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian MCA Pasir Gudang, Tan Tuan Peng berkata, pihaknya mendapat aduan penduduk mengenai perkara itu yang bimbang keselamatan mereka.

“Saya dimaklumkan penduduk setempat mengenai aktiviti pembersihan sungai oleh pihak berkuasa di kawasan itu sejak semalam tanpa memaklumkan kepada mereka.

“Sehingga kini tiada maklumat diberikan, selain petugas memaklumkan mereka melaksanakan kerja pembersihan membabitkan bahan kimia,” katanya ketika dihubungi.

Tan berkata, pihak berkuasa tidak sepatutnya menyembunyikan perkara itu dari pengetahuan penduduk.

“Sebaliknya mereka perlu mendedahkan kepada orang ramai apa yang dilakukan di kawasan itu, selain memberikan jaminan keselamatan.

“Sekurang-kurangnya penduduk tahu apa harus dilakukan, lebih-lebih lagi ia membabitkan penemuan ‘tong biru’ dipercayai sisa toksik,” katanya.

Di media sosial, tular mengenai kerja pembersihan di Sungai Masai itu yang menimbulkan tanda tanya netizen, apatah lagi tiada maklumat mengenai isu itu.

Netizen juga bimbangkan mereka kerana fasa pencemaran akibat bahan kimia di Sungai Kim Kim belum lagi reda.

Rakaman gambar disebar memperlihatkan beberapa tong diangkat petugas berbaju putih dengan lokasinya di tepi Lebuhraya Pasir Gudang.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 10:11 PM