Sukarelawan membantu penduduk di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Sukarelawan membantu penduduk di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEMBILAN individu ditahan polis semalam dipercayai terbabit dalam insiden pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sembilan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Semalam, kita sudah menahan dua orang di Johor dan tujuh lagi ditahan di luar Johor.

“Operasi memburu suspek lain masih diteruskan, saya tidak boleh beri terlalu banyak maklumat terperinci kerana ia akan mengganggu siasatan dan operasi polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Turut hadir Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Mohamad Fuzi berkata, semua suspek kini ditahan reman enam hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara merbahaya kepada kesihatan), Seksyen 284 (kelakuan cuai berkenaan benda beracun) dan Seksyen 326 kanun sama (menyebabkan cedera parah).

Semalam, Mohamad Fuzi memaklumkan polis sudah memperoleh petunjuk yang menjurus kepada identiti suspek bertanggungjawab membuang sisa bahan kimia secara haram di sungai itu dan operasi memburu serta menjejak suspek giat dijalankan untuk membuat tangkapan.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 2:43 PM