Izlaily Nurul Ain Hussein


SEMUA sisa bahan kimia dikumpulkan sepanjang proses pembersihan Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang akan dihantar untuk dilupuskan di kilang pembakaran dekat Jalan Tembaga, Pasir Gudang serta Bukit Pelanduk, Seremban, Negeri Sembilan.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, semua sisa bahan kimia itu akan dilupuskan kilang berkenaan dengan suhu kepanasan antara 800 hingga 1,200 darjah Selsius.

“Kita sudah buang 150 tan metrik air bercampur bahan kimia dan 300 tan metrik tanah yang dikenal pasti terdapat bahan kimia.

“Kita hantar ke kilang pembakaran di Jalan Tembaga dan ke Bukit Pelanduk, Seremban untuk dilupuskan. Kita akan pastikan benda itu (bahan kimia) habis.

“Kita percaya bahan kimia ini sudah tiada (bahaya), tetapi kita tetap hantar untuk pelupusan lebih selamat,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan 1.5 kilometer (km) sungai yang tercemar sudah dibersihkan, namun kontraktor dilantik akan berada di lokasi untuk tiga hari lagi bagi pemantauan susulan.

ANGGOTA Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat persiapan saringan keadaan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas di Sungai Kim Kim. FOTO Adi Safri
ANGGOTA Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat persiapan saringan keadaan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas di Sungai Kim Kim. FOTO Adi Safri

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri akan memantau kawasan berpotensi menjadi lokasi pembuangan sisa bahan kimia secara haram di seluruh negeri ini.

“Kita ada kenal pasti beberapa tempat yang tidaklah bahaya, tetapi dipercayai ada berlaku pembuangan sisa bahan kimia di situ,” katanya.

Dalam perkembangan jangka masa panjang pula, Osman berkata, sebuah pondok keselamatan akan didirikan di lokasi pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim dengan menempatkan dua anggota daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Untuk jangka masa panjang, dalam mesyuarat, kita bincang untuk dirikan pondok keselamatan tetap di situ.

“Ini kerana selepas selesai operasi pembersihan nanti, tiada orang berada di lokasi, jadi ia akan dipantau dua anggota dari PBT secara bergilir-gilir bagi mengelak perkara ini berulang,” katanya.

Bagi pembukaan semula 111 sekolah diarahkan tutup, Osman berkata, ia akan diputuskan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang berkunjung ke Johor, esok.

“Sebenarnya kita hanya ada empat hari lagi sebelum cuti sekolah yang panjang.

“Jadi, saya percaya Menteri Pendidikan yang akan datang ke sini esok akan melihat dan memantau laporan jawatan kuasa sebelum membuat sebarang keputusan tentang pembukaan sekolah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:05 PM