Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS memperoleh petunjuk menjurus kepada identiti suspek bertanggungjawab membuang sisa bahan kimia secara haram di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kini operasi memburu dan menjejak suspek giat dijalankan untuk menahan suspek berkenaan.

“Ketika ini, kami ada beberapa petunjuk dan yakin dengan usaha mengesan suspek yang diperhebatkan. Operasi kesan dan jejak suspek sedang dilaksanakan bukan sahaja Polis Johor, tetapi di peringkat Bukit Aman.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berdiam diri, kami tubuhkan pasukan khas diketuai Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

“Kami perlu petunjuk jelas dan yakin dengan petunjuk yang diperoleh, jadi operasi memburu dan menjejak suspek sedang dibuat. Kami tidak boleh komen lebih kerana ia akan mengganggu operasi kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan Awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di Pasir Gudang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, Mohd Khalil dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis.

Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor membuat kenyataan bahawa tiga suspek sudah ditahan berhubung insiden pembuangan sisa bahan kimia itu.

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi enggan memberi komen lanjut dan menegaskan polis belum ada membuat sebarang penangkapan.

“Kita perlu ingat bahawa operasi dikendalikan berhubung isu ini dibuat berasingan kecuali apabila diberi maklumat. PDRM memang belum membuat tangkapan, itu fakta yang kami laporkan kepada media.

“Apa yang dikeluarkan oleh jabatan lain, kami tidak dapat komen,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 76 laporan polis diterima pihaknya berhubung isu pencemaran yang berlaku dan berpendapat kemungkinan jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 5:05 PM
MOHAMAD Fuzi (kanan) mendengar taklimat daripada Mohd Khalil mengenai pengurusan bencana sisa kimia di Sungai Kim Kim di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
MOHAMAD Fuzi (kanan) mendengar taklimat daripada Mohd Khalil mengenai pengurusan bencana sisa kimia di Sungai Kim Kim di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pasir Gudang, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin.