LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Shahrinnahar Latib


SEORANG lagi mangsa skim cepat kaya di Kuantan membuat laporan polis akibat kerugian RM152,050, selepas menyertai pelaburan tunai dengan sebuah syarikat pengeluar kopi terkenal.

Mangsa, seorang guru wanita berusia 48 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam selepas tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, berdasarkan laporan mangsa, pada April 2015, dia diperkenalkan oleh rakannya mengenai pelaburan syarikat pengeluar kopi terkenal.

“Sebanyak empat pakej ditawarkan kepadanya iaitu RM1,000, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000, yang mana ahli yang melaburkan akan menerima satu perempat pulangan (dalam bentuk produk termasuk kopi) dan tiga perempat pulangan (dalam berbentuk wang).

“Mangsa secara keseluruhan sudah melabur sebanyak RM190,000 dan hanya menerima pulangan dalam lebih kurang RM37,950,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, seramai 19 individu termasuk guru, pekerja swasta dan kakitangan kerajaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kerana mendakwa menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya selepas membuat pelaburan tunai dengan sebuah syarikat menjual kopi sehingga membabitkan kerugian kira-kira RM735,000.

Mengulas lanjut, Mohd Wazir berkata, bermula dari November 2016, mangsa tidak lagi menerima sebarang pulangan dan pihak syarikat memberikan alasan program serta pakej sedang dinaik taraf untuk memberi keuntungan lebih tinggi kepada semua ahli.

“Namun sehingga kini, dia tidak mendapat sebarang maklum balas yang positif daripada pihak syarikat.

“Mangsa berasa tidak berpuas hati dan membuat laporan polis semalam,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan pelaburan yang dijanjikan dengan pulangan setiap bulan sehingga mendorong mangsa memasukkan wang untuk dilaburkan serta mengalami kerugian.

“Susulan laporan dibuat mangsa, polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Kita juga sedang mengesan suspek utama kes ini iaitu pemilik syarikat berkenaan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

''Kami ditipu syarikat kopi'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 11:17 AM