Salahuddin (tengah) diberi taklimat oleh Suhaili
Salahuddin (tengah) diberi taklimat oleh Suhaili
Poliana Ronnie Sidom


TITIK peluh bapa tiga anak berjaga malam untuk menternak ketam lembut enam tahun lalu tidak sia-sia apabila mampu meraih pendapatan sehingga RM7,000 sebulan hasil ternakan itu.

Suhaili Abdurahman, 39, menternak ketam lembut sejak 2013 dengan bermula enam sangkar dan modal RM700 di perairan Kampung Bambangan, Sandakan.

Idea untuk menternak ketam lembut itu timbul selepas sering melihat sangkar ketam lembut yang dibina rakannya di kawasan perairan Pulau Timbang selain mencari maklumat menerusi Internet.

Namun hari ini, usahawan itu yang sebelum ini cuma nelayan biasa dan pernah menjadi pemandu lori boleh berbangga apabila berjaya memperluaskan perusahaan sehingga ada 35 petak bagi menternak dan menghasilkan antara 200 kilogram (kg) hingga 500 kg ketam lembut sebulan.

Ketam menjadi lembut selepas proses pertukaran cengkerang. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Ketam menjadi lembut selepas proses pertukaran cengkerang. FOTO Poliana Ronnie Sidom

Menggunakan kaedah membiarkan ketam bebas dalam bakul tanpa bekalan oksigen, Suhaili berkata, ketam lembut daripada ketam bakau atau nipah melalui proses panjang antara 17 hingga 29 hari untuk menanggalkan cengkerang dan menjadi lembut selain perlu penjagaan rapi.

Katanya, risiko paling tinggi dihadapi penternak adalah pada musim el-nino iaitu antara Julai hingga September yang mendedahkan ketam kepada kematian susulan cuaca panas di permukaan laut.

“Selepas cengkerang tertanggal, ketam perlu dikutip dalam tempoh dua jam sebelum cengkerang baru menjadi keras dan terdedah kepada risiko dimakan oleh ketam lain dan ikan.

“Biasanya proses ini berlaku pada waktu malam atau awal pagi ketika cuaca sejuk.

“Sangkar juga perlu sentiasa dibersihkan. Jika banyak lumut, ia melambatkan proses bersalin kulit. Sampah pula perlu sentiasa dibersihkan agar tidak menghalang oksigen masuk dalam sangkar,” katanya ditemui selepas lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ke Projek Ternakan Ketam Lembut itu.

Menceritakan lebih lanjut, Suhaili berkata, bermula pada 2017, dia mendapat tajaan daripada Jabatan Perikanan menerusi program Penternak Ladang Akuakultur Contoh (PLAC) yang menyediakan bantuan enjin sangkut, bot, pondok terapung, kayu dan kursus.

Katanya, ketam lembut yang diternaknya ketika ini cuma untuk pasaran di sekitar daerah itu dengan tumpuan pasaran di restoran makanan laut.

“Syukur dengan bantuan rakan, keluarga dan Jabatan Perikanan, saya mampu berada seperti sekarang dan beri suntikan semangat terhadap peserta lain,” katanya.

Selain ketam lembut, Suhaili turut menternak pelbagai jenis ikan termasuk ikan jenahak, kerapu, putih, udang lipan, kupang selain mula melakukan kaedah menggemukkan ketam di bawah bimbingan Jabatan Perikanan sejak dua bulan lalu.

“Ia (kaedah menggemukkan ketam) masih dalam peringkat percubaan dan saya belum berani menerangkan bagaimana kaedah ini boleh berkesan.

“Sekarang saya ternak kira-kira 500 ekor ketam untuk projek itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 9:22 PM