RINA Harun. FOTO Aizuddin Saad
RINA Harun. FOTO Aizuddin Saad
Mohamad Hussin


SERAMAI 893 daripada 8,531 pelajar membabitkan 53 Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) di seluruh neg ara memperoleh gred semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan, hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, MRSM berjaya mencapai prestasi yang cemerlang dengan 100 peratus gred lulus dan mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) yang baik iaitu 2.46.

Beliau berkata, nilai GPM yang kecil menunjukkan pencapaian yang sangat baik yang mana majoriti pelajar mendapat purata gred antara A+ hingga B.

“MARA mensasarkan pelajar MRSM memperoleh minimum gred B bagi semua subjek yang diduduki yang mana tahun ini seramai 8,149 calon atau 98 peratus mencapai sasaran berkenaan.

“Lebih membanggakan, daripada jumlah itu, seramai 893 daripada keseluruhan calon atau 11 peratus memperoleh gred semua A dalam semua subjek yang diduduki.

“Keputusan SPM tahun ini juga mencatatkan enam MRSM menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan GPM kurang daripada 2.0,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rina berkata, antaranya MRSM Kuantan, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Kubang Pasu, MRSM Langkawi, MRSM Taiping dan MRSM Tun Ghafar Baba.

“Pencapaian cemerlang dalam SPM 2018 membuktikan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) yang berfokuskan kepada enam disiplin, antaranya Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Lukisan dan Matematik mampu melahirkan pelajar cemerlang terutama dari luar bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:25 PM