Pekerja syarikat pembersihan melakukan kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim. FOTO Khairul Ghazali. Gambar atas (Mahirah), bawah (Abdul Rahim)
Pekerja syarikat pembersihan melakukan kerja pembersihan sisa bahan toksik di Sungai Kim Kim. FOTO Khairul Ghazali. Gambar atas (Mahirah), bawah (Abdul Rahim)
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENDUDUK sekitar Pasir Gudang mengambil langkah berjaga-jaga dengan meninggalkan kediaman masing-masing dan berpindah ke kawasan lebih selamat.

Selepas berlakunya gelombang keempat susulan kesan pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih sehingga menghasilkan gas beracun, keadaan terkini menyaksikan penduduk enggan mengambil sebarang risiko.

Penduduk di kawasan berhampiran beranggapan lebih baik mereka keluar lebih awal sebelum keadaan semakin buruk.

Penduduk, Mahirah Ahmad Helmi, 32, berkata, dia terpaksa membawa dua anaknya berusia tiga tahun dan lima bulan menumpang di rumah bapa mentua di Kempas sehingga keadaan pulih.

“Sejak beberapa hari lalu, anak pertama saya batuk-batuk, anak kedua pula mengalami mata merah.

“Saya sudah bawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI) membuat pemeriksaan.

“Saya tinggal sementara di rumah bapa mentua dan sejak semalam, semua jiran mula meninggalkan rumah masing-masing kerana merasakan kesihatan di sini terancam,” katanya yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 itu berharap, proses pembersihan sungai berjalan lancar dan tidak terhenti.

“Diharapkan pembersihan sungai berjalan cepat dan berterusan,” katanya.

Pekerja sendiri, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, memutuskan membawa tiga anaknya tinggal sementara di sebuah hotel kerana memikirkan keselamatan mereka di Pasir Gudang.

Katanya, dia sentiasa meletakkan keselamatan dan kesihatan anak-anak sebagai keutamaan walaupun kerajaan tidak mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

“Kami tinggal di hotel sejak malam tadi kerana tidak perlu untuk terus berada di rumah di Taman Bukit Dahlia. Terdapat banyak maklumat mengelirukan mengenai insiden ini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko membabitkan anak-anaknya kerana sekolah juga sudah ditutup sejak semalam.

Katanya, jika keadaan berpanjangan, dia akan pulang ke rumah keluarganya di Batu Pahat.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 3:59 PM