JASMAN memerhatikan muara Kuala Sungai Baru yang cetek akibat mendapan pasir sekali gus menyukarkan nelayan keluar masuk. FOTO Hassan Omar
JASMAN memerhatikan muara Kuala Sungai Baru yang cetek akibat mendapan pasir sekali gus menyukarkan nelayan keluar masuk. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


KIRA-KIRA 160 nelayan di Pangkalan Nelayan Kuala Sungai Baru menanggung derita setiap kali keluar ke laut berikutan muara Kuala Sungai Baru yang kian cetek terutama ketika air surut.

Nelayan yang pulang dari menangkap ikan ketika air surut dan ingin mendaratkan hasil tangkapan di jeti pangkalan itu terpaksa berlabuh di laut akibat muara tidak boleh dilalui dan harus menunggu hingga air pasang.

Nelayan yang ingin keluar ke laut pula harus segera meninggalkan pangkalan berkenaan sebelum air surut selain ada yang terpaksa menumpang di pangkalan nelayan di lokasi lain semata-mata tidak mampu melepasi muara kuala yang dipenuhi mendapan pasir.

Ketua Jaringan Perikanan Kuala Sungai Baru Jasman Nor berkata, masalah berkenaan sudah berlarutan sejak kira-kira 10 tahun lalu tetapi nelayan tiada cara lain untuk keluar masuk di muara itu kerana tiada laluan lain.

“Nelayan yang baru pulang menangkap ikan tetapi terlepas waktu air pasang ketika tiba di muara, mereka terpaksa bersauh atau berlabuh di laut kira-kira enam jam sementara menunggu air pasang semula.

“Kebanyakan nelayan yang mengalami masalah itu sanggup naik di Pangkalan Nelayan Telok Gong atau Kuala Linggi masing-masing dua dan enam kilometer dari sini,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kuala Sungai Baru, hari ini.

Jasman berkata, nelayan juga terpaksa menggunakan pangkalan nelayan di Kampung Telok Gong atau Kuala Linggi semata-mata bagi mengelak risiko bot atau perahu karam ketiba berlabuh di laut.

Katanya, pihak pengurusan Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat sudah beberapa kali menyuarakan masalah berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka Abdul Hakim Hamzah berkata, jabatannya sudah memperoleh peruntukan RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek mendalamkan muara itu dan membina benteng di tebing muara selain membina benteng pemecah ombak di bahagian yang menganjur ke laut.

“Tender dijangka dibuka pada bulan depan dan jika semuanya berjalan lancar, projek itu akan dilaksanakan segera bagi memastikan nelayan tidak menghadapi kesukaran untuk keluar masuk di muara,” katanya.

Beliau berkata, muara berkenaan bukan setakat akan diperdalamkan malah tembok atau benteng bakal dibina di kiri dan kanan tebing muara bagi mengelakkan pasir turun semula ke bahagian dasar muara.

“Benteng pemecah ombak atau ‘groyne’ yang menganjur ke laut berfungsi menghalang ombak menghakis pantai dan ia akan memastikan muara tidak dipenuhi pasir dan mendapan yang dibawa dari laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 3:39 PM