PEGAWAI TLDM direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah. FOTO Muhammad Apendy Issahak
PEGAWAI TLDM direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak


PEGAWAI Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander dibenarkan reman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

Pegawai berusia 42 tahun yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Staf Logistik dipercayai terbabit kes rasuah pembekalan katering yang dianggarkan bernilai RM18,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Markas Wilayah Laut 3, Pangkalan TLDM Langkawi tahun lalu.

Suspek yang kini bertugas di Pengakalan TLDM Lumut, dekat sini ditahan 4.20 petang semalam ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak.

Lelaki terbabit yang memakai baju lokap SPRM dibawa ke mahkamah pada 11 pagi dan permohonan reman dibuat oleh Pegawai Pendakwa SPRM, R Kumuthambal.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Adibah Abdul Kadir bermula hari ini hingga 19 Mac ini.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 12:55 PM