Siti A’isyah Sukaimi


KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.89, pencapaian lebih baik berbanding tahun 2017 yang mencatatkan 4.90.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, selain itu jurang pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar mengecil sebanyak 0.04 pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, hal ini disebabkan oleh peningkatan pencapaian calon di luar bandar sebanyak 0.04 manakala pencapaian calon di bandar kekal.

“Bagi peratusan calon yang layak dianugerahkan sijil meningkat sebanyak 1.2 peratus iaitu 86.4 peratus daripada 391,641 calon yang menduduki peperiksaan SPM berbanding 85.2 peratus pada tahun 2017.

“Untuk pensijilan calon berkeperluan khas (CBK), beliau berkata, seramai 1,194 calon menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2018 dan daripada jumlah itu, seramai 61.2 peratus CBK layak dianugerahkan sijil,” katanya pada sidang media Pengumuman Analisis Keputusan SPM 2018 di Putrajaya, hari ini.

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin bersama Pengarah Lembaga PeperiksaanKementerian Pendidikan Malaysia, Adzman Talib ketika sidang media analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin bersama Pengarah Lembaga PeperiksaanKementerian Pendidikan Malaysia, Adzman Talib ketika sidang media analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Dalam pada itu, Amin berkata, sebanyak 58.9 peratus atau 230,465 calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2018.

“Sebanyak 2.2 peratus atau 8,436 calon cemerlang mendapat gred A+, A dan A- untuk semua mata pelajaran, 19.0 peratus atau 74,360 calon kepujian mendapat sekurang-kurangnya gred C untuk semua mata pelajaran manakala, 37.7 peratus atau 147,669 calon lulus mendapat sekurang-kurangnya gred E untuk semua mata pelajaran.

“Bagi prestasi mata pelajaran, 24 daripada 63 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 37 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala dua mata pelajaran tidak berubah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dari segi keupayaan calon menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), secara keseluruhannya, 61.1 peratus calon SPM 2018 menguasai KBAT dengan baik.

“Penguasaan calon dalam kemahiran menilai adalah paling tinggi, diikuti dengan kemahiran mencipta, menganalisis dan mengaplikasi.

“Sebanyak 70.1 peratus calon menguasai kemahiran menilai, 63.2 peratus calon pula menguasai kemahiran mencipta, 56.9 peratus calon menguasai kemahiran menganalisis manakala 54.3 peratus calon menguasai kemahiran mengaplikasi,” katanya.

Peperiksaan bertulis SPM 2018 dijalankan dari 13 November hingga 13 Disember lalu dengan bilangan calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan seramai 421,706 calon berbanding 443,883 calon pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:16 AM