Mohamad Hussin


KUALA LUMPUR: Perubahan corak angin dari timur laut yang bertiup lemah dari pelbagai arah menggalakkan pembentukan awan ribut petir Kumulus Nimbus pada waktu petang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geo Fizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Dr Hisham Mohd Anip berkata, ribut petir yang melanda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak minggu lalu dijangka berterusan beberapa hari lagi.

Beliau berkata, kejadian ribut petir di Putrajaya dan Shah Alam, Selangor, minggu lalu bersifat setempat sebelum ia kembali normal kepada cuaca panas.

“Kemuncak musim panas pada penghujung bulan ini dan awal April sebelum suhu kembali turun secara perlahan-lahan pada paras normal dijangka penghujung April hingga awal Mei depan.

“Ribut petir menyebabkan angin kencang, hujan lebat, kilat dan kadang kala hujan batu dalam tempoh singkat iaitu satu hingga dua jam.

“Angin kencang semasa ribut petir boleh menyebabkan pokok tumbang dan kerosakan struktur yang tidak kukuh,” katanya di sini, semalam.

Dr Hisham berkata, hujan lebat semasa ribut petir boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan berkedudukan rendah dan cenderung banjir.

“Malaysia kini berada pada peringkat akhir musim Monsun Timur Laut sebelum memasuki musim panas antara Mac hingga April.

“Berdasarkan rekod MET, suhu tertinggi dicatatkan di utara tanah air pada musim panas mencecah 37 hingga 38 darjah Celsius. Suhu cuaca sekarang juga tinggi iaitu 35 darjah Celsius.

“Bagaimanapun, suhu kembali normal dijangka pada penghujung April hingga awal Mei depan iaitu antara 32 hingga 33 darjah Celsius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 8:30 AM