ANGGOTA bomba mengangkat Ahmad Imran untuk dibawa keluar dari kawasan Air Terjun Sungai Mahang, Nilai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba mengangkat Ahmad Imran untuk dibawa keluar dari kawasan Air Terjun Sungai Mahang, Nilai, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Raja Noraina Raja Rahim


PENUNTUT Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cedera selepas terjatuh dari ketinggian tiga meter di kawasan Air Terjun Sungai Mahang di Nilai, hari ini.

Kejadian itu menyebabkan Ahmad Imran Nawai, 21, cedera pada tangan kanannya.

Difahamkan, mangsa mandi di kawasan air terjun berkenaan bersama lima rakannya sebelum kejadian itu berlaku.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai Jamaluddin Latif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.28 tengah hari sebelum bergegas lapan anggota ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat, ketika kejadian mangsa berdiri di atas batu sebelum dia terjatuh menyebabkan tangan kanannya terseliuh.

“Rakan mangsa kemudiannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawa keluar mangsa sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nilai bagi menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 5:28 PM