Siraj Mohd Zaini


SEBANYAK 5,000 kilogram (kg) susu tepung import dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah premis di Shah Alam kerana menyalahgunakan logo halal.

Dalam serbuan pada 28 Februari lalu, syarikat berkenaan didakwa mengimport susu dari New Zealand dalam bungkusan 25 kg sebelum dibungkus ke dalam kuantiti lebih kecil iaitu satu kg dan 500 gram bagi pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor Azman Adam berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati susu tepung itu mempunyai pensijilan dan logo halal diiktiraf dari Jerman namun menjadi kesalahan sekiranya ia diguna pakai bagi peket susu yang dibungkus semula.

“Syarikat itu melanggar Perenggan 5(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu semua makanan dan barang import yang dipasarkan di Malaysia tidak boleh diperihalkan halal kecuali ia diperakukan sebagai halal oleh badan pensijilan luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Jumlah rampasan susu berkenaan dianggarkan bernilai RM74,200 dan jika sabit kesalahan, syarikat terbabit boleh didenda sehingga RM200,000.

“Syarikat itu menjalankan perniagaan membabitkan susu sejak lapan tahun lalu manakala kegiatan pembungkusan semula susu tepung itu dibuat sejak dua tahun lalu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

 AZMAN (tiga kiri) bersama pegawai memeriksa peket susu yang menyalahgunakan logo halal. FOTO Roslin Mat Tahir
AZMAN (tiga kiri) bersama pegawai memeriksa peket susu yang menyalahgunakan logo halal. FOTO Roslin Mat Tahir

Menurutnya, pihak yang mahu membuat pembungkusan semula barangan import perlu membuat permohonan daripada JAKIM sekiranya ingin menggunakan logo halal bagi produk mereka.

“Ia penting bagi memastikan peralatan serta pembungkusan menepati kaedah yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta tiada bahan kimia yang ditambah dalam produk berkenaan.

“Jika tiada logo halal, ia tidak menjadi masalah namun apabila logo halal dari luar negara yang diiktiraf JAKIM disalah guna, ia adalah satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk menyerahkan susu tepung itu ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan isi kandungannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 4:07 PM