Janin yang ditemui di Kampung Banggol Kapas, Marang hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Janin yang ditemui di Kampung Banggol Kapas, Marang hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


JANIN ditemui pada tiang elektrik berhampiran pokok duku di Kampung Banggol Kapas, Marang hari ini.

Janin yang sudah berulat itu ditemui suri rumah 3 petang ketika melalui kawasan berkenaan selepas terhidu bau busuk.

Noor Azura Husim,34, berkata, dia dalam perjalanan menghadiri kenduri kahwin sebelum terpandang satu beg kertas selain bau busuk.

“Curiga dengan kehadiran beg kertas itu, saya meminta anak perempuan memeriksanya sebelum dia dapati ada sehelai kain batik.

“Bagaimanapun, anak tidak berani membukanya lalu saya minta anak saudara perempuan melihatnya dan kami terkejut apabila mendapati ada tompokan darah pada kain batik itu.

“Lebih mengejutkan saya apabila melihat kulit kepala di dalam bungkusan kain itu sebelum saya segera memaklumkan penemuan itu kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Noor Azura berkata, dia sebenarnya sudah menyedari kewujudan beg kertas itu sejak Rabu namun tidak menyangka ia mengandungi janin.

“Jika saya tahu lebih awal, sudah tentu saya dan penduduk kampung melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, jantina janin itu masih belum dapat disahkan dan ia sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 8:42 PM