Iskandar Shah Mohamed


BEKAS Ahli Majlis Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas 11 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan penganjuran sebuah ekspo, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Fauzi Ahmad, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut 10 pertuduhan, dia sebagai penjawat awam didakwa memberi suapan keseluruhan berjumlah RM24,000 kepada lima lelaki bagi mengundi Ligat Bina Enterprise sebagai penganjur Ekspo Raya 2016 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MDSB.

Tertuduh turut didakwa menyalahguna kuasa bagi mendapatkan suapan apabila mengambil bahagian dalam mesyuarat yang memutuskan memilih Ligat Bina Enterprise sebagai penganjur ekspo sama.

Semua perbuatan itu dilakukan di sekitar Sungai Besar, Sabak Bernam, Sekinchan dan Rawang antara April 2016 hingga Mac 2017.

Justeru, Mohamad Fauzi didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) dan Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Suffian Ja’afar menawarkan kos ikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Namun, peguam R Tirukumaran yang mewakili tertuduh memohon pengurangan berikutan anak guamnya itu mempunyai tanggungan dua anak dan menghidap darah tinggi.

“Selain itu, dia kini hanya bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan dengan memperoleh pendapatan RM4,000 sebulan,” katanya.

Rozilah kemudian membenarkan kos ikat jamin RM60,000 bagi semua pertuduhan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 4:05 PM