MOHD  Salehuddin (dua kanan)  melelong nanas selepas merasmikan Program MYBest Buy dan Jualan terus dari ladang di Perkarangan Wisma Tani, semalam.
MOHD Salehuddin (dua kanan) melelong nanas selepas merasmikan Program MYBest Buy dan Jualan terus dari ladang di Perkarangan Wisma Tani, semalam.
Samadi Ahmad


PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengumpul nilai jualan RM49.6 juta di bawah program My Best Buy (MBB) hingga akhir Januari lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehuddin berkata, nilai jualan tinggi itu susulan sambutan menggalakkan orang ramai sejak program MBB diperkenalkan pada 2014.

Katanya, FAMA memperkenal MBB 2.0 bagi membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan menawarkan harga istimewa berpatutan.

“Pada tahun ini iaitu dalam tempoh satu bulan, program MBB mencatat nilai jualan RM1.29 juta di 131 lokasi seluruh negara,” katanya kepada media selepas merasmikan Program MyBest Buy (MBB) dan Jualan Terus Dari Ladang di Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (MOA) di sini, semalam.

Program MBB itu menawarkan 20 gerai jualan membabitkan penyertaan petani ladang kontrak dan usahawan dengan harga berpatutan.

Lapan barangan yang dipasarkan termasuk sayur, ikan, ayam, daging, buah-buahan, barangan industri asas tani dan makanan diproses.

Mohd Sallehuddin berkata, pada masa ini, ada 162 lokasi jualan MBB dan ditambah 33 lokasi menjadikan jumlahnya 195 menjelang hujung tahun ini.

“Program MBB yang diadakan minggu ini dijalankan secara serentak di seluruh negara bermula 25 Februari lalu hingga 3 Mac bagi memberi kesedaran kepada pengguna aktiviti dan dasar kerajaan untuk menikmati harga jualan lima peratus hingga 20 peratus lebih jimat daripada harga pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 7:00 AM