ADI Faizal (tengah) bersama Azmizam kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat bulanan MPK. FOTO Faliq Lajim
ADI Faizal (tengah) bersama Azmizam kiri) pada sidang media selepas Mesyuarat bulanan MPK. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan sebanyak 14 kompaun kepada kediaman sekitar Klang sepanjang Januari sehingga semalam kerana dikesan mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.

Kompaun itu dikeluarkan berikutan penduduk setempat mengambil sikap sambil lewa mengenai kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya memandang serius usaha membasmi denggi walaupun masyarakat masih tidak memberi kerjasama yang sekali gus menyumbang punca peningkatan jumlah kes itu di Klang.

“Sehingga kini, 3,199 kes denggi dilaporkan di daerah ini sejak 1 Januari sehingga semalam dengan tiga kematian direkodkan menjadikan daerah ini mencatat kes denggi yang kedua tinggi di Selangor.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan melakukan pemeriksaan secara konsisten. Kompaun maksimum RM1,000 akan dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Jika individu itu gagal membayarnya, tindakan mahkamah akan diambil," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Bulanan MPK di Klang, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Adi Faizal berkata, MPK turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang bagi melaksanakan penguatkuasaan lebih tegas kali ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, MPK sudah menyita sebanyak 113 premis perniagaan termasuk gerai yang tidak mempunyai lesen sah di sekitar daerah ini, selain kafe siber, rumah urut, pusat hiburan dan perniagaan dijalankan oleh warga asing.

Katanya, pemerhatian pihaknya mendapati ramai pengusaha masih berdegil dengan beroperasi tanpa lesen termasuk di lokasi tidak dibenarkan.

“Sepanjang Januari hingga semalam, 100 penjaja warga asing yang berniaga di petak ruang tidak dibenarkan sudah dikenakan tindakan.

“Selain itu, sembilan pusat urut yang beroperasi di sekitar daerah ini diperiksa dan tujuh daripadanya dikompaun manakala dua lagi disita.

“Bagi pusat hiburan, sebanyak 31 premis diperiksa dan kita mengeluarkan masing-masing 10 kompaun dan sita. Tindakan sita ini diambil selepas premis itu beroperasi di luar kawasan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sembilan kompaun dan menyita satu premis membabitkan pusat siber.

Adi Faizal berkata, MPK tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis yang didapati membuat kesalahan selain akan menjalankan pemeriksaan berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 5:54 PM