DR Zulkifli memberi pandangan berkenaan vaksin. FOTO/NSTP
DR Zulkifli memberi pandangan berkenaan vaksin. FOTO/NSTP
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


PENGAMBILAN vaksin berjadual mengikut Program Imunisasi Kebangsaan adalah wajib ke atas ibu bapa untuk anak mereka dan hukumnya adalah harus sama ada merawat penyakit atau bersifat pencegahan penyakit.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam dua Bayan Linnas siri 59 dan 167 berkenaan vaksin berkata, ibu bapa dan penjaga yang lalai daripada kewajipan memberi suntikan vaksin adalah berdosa apabila anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit yang boleh dielakkan.

“Sekiranya penyakit berkenaan membawa mudarat kepada orang lain kerana kecuaian, ibu bapa atau penjaga mereka juga mendapat dosa yang lain.

“Pengambilan vaksin memenuhi Maqasid Syari’ah, ini kerana dalam Islam, hifz al-nafs (penjagaan nyawa) termasuk dalam perkara yang dituntut.

“Dari sudut pengambilan vaksin terbukti boleh mencegah tubuh badan dari pelbagai penyakit yang diterima secara umum oleh pakar dan bertepatan dengan kaedah Maqasid al-Syariah,” katanya.

Menurutnya, isu penolakan vaksin dalam kalangan ibu bapa sejak akhir-akhir ini membimbangkan kerana ia secara tidak langsung menyebabkan jumlah kes beberapa penyakit cegahan vaksin di Malaysia meningkat.

“Setelah kami meneliti dan mengkaji lebih mendalam di samping maklumat terkini yang kami peroleh serta pandangan pakar, ulama dan pihak berkuasa bidang berkenaan dengan hukum pengambilan vaksin, maka kami dengan menginsafi realiti semasa dan keperluan yang mendesak terutamanya kanak-kanak yang memerlukan sokongan pada tubuh masing-masing supaya berlaku tumbesaran dengan lebih selamat dari penyakit.

“Pengambilan vaksin termasuk rawatan pencegahan yang disebut sebagai mencegah itu lebih baik daripada merawat dengan diperkukuhkan lagi dengan hadis Nabi SAW bermaksud sesiapa yang berpagi-pagi dengan tujuh biji kurma ‘ajwah, tidak akan memberi kemudaratan kepadanya pada hari tersebut racun dan juga sihir,” katanya.

Dr Zulkifli turut mengesyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewajibkan pengambilan vaksin bagi kanak-kanak pada peringkat persekutuan.

“Orang dewasa juga disarankan untuk mengambil vaksin alternatif seperti kata Presiden Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy (MSIDC), Prof Dr Zamberi Sekawi iaitu vaksinasi memberi perlindungan daripada penyakit yang menyerang sistem imun manusia yang lemah.

“Individu yang berusia lebih 50 tahun dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza, pertusis, pneumokokal dan kayap.

“Dalam masa yang sama, Jadual Imunisasi Kebangsaan ini perlulah sentiasa disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan, kandungan bahannya dan kesannya kepada kemampuan ekonomi negara,” katanya.

Berita berkaitan

Bekas peguam luah perasaan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 5:02 PM